Topik diikuti
Pergi ke BHkuOnn Hafiz pertahan prinsip BN Johor, persoal dakwaan tak sehaluan dengan Persekutuan
Onn Hafiz pertahan prinsip BN Johor, persoal dakwaan tak sehaluan dengan Persekutuan
Onn Hafiz pertahan prinsip BN Johor, persoal dakwaan tak sehaluan dengan Persekutuan
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mempertahankan pendirian Barisan Nasional (BN) Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sambil menegaskan keputusan itu dibuat berdasarkan prinsip serta suara majoriti rakyat Johor.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sebelum ini menggesa rakyat memilih kepimpinan negeri yang bijak, berprinsip, tidak sombong serta mampu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
Menurut Datuk Onn Hafiz, pelantikan Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor dibuat atas perkenan Sultan Johor dan pentadbiran negeri sentiasa berpegang kepada amanah yang diberikan demi kepentingan rakyat.
“Keputusan BN Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi adalah keputusan yang sukar diterima sesetengah pihak.
“Namun, adakah keputusan saya dan kepimpinan BN untuk berprinsip serta mendengar suara majoriti Bangsa Johor menjadikan kami sombong?” katanya dalam satu kenyataan pada 16 Jun.
Beliau menegaskan kerajaan negeri tidak pernah menolak kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, malah sentiasa bersikap terbuka menerima pandangan dan bantuan demi kepentingan rakyat.
Katanya, pentadbiran Johor sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat tanpa terlalu mempersoalkan sama ada sesuatu tanggungjawab berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri atau Persekutuan.
Sebagai contoh, beliau berkata kerajaan negeri setiap tahun menyalurkan bantuan kepada bilik guru dan sekolah walaupun pendidikan berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan.
Selain itu, kerajaan negeri turut membantu kemudahan di Kompleks Sultan Abu Bakar (CIQ), ibu pejabat polis daerah (IPD) dan kem tentera meskipun urusan berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan.
“Kerajaan Negeri juga membantu hospital, klinik dan kemudahan kesihatan awam walaupun urusan kesihatan merupakan tanggungjawab Kementerian Kesihatan.
“Malah apabila hasil negeri meningkat, kita bukan sahaja memberi bantuan khas kewangan kepada penjawat awam negeri, tetapi turut menghargai penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Johor,” katanya.
Menurut beliau, segala bantuan dan sokongan yang diberikan itu bukan bertujuan meraih penghargaan atau mengungkit jasa, sebaliknya kerana kerajaan negeri percaya manfaat kepada rakyat perlu diutamakan mengatasi soal bidang kuasa atau perbezaan politik.
Datuk Onn Hafiz berkata pendekatan tersebut membuktikan Johor sentiasa bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam pelbagai perkara yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Bagi Kerajaan Negeri, yang lebih utama bukan kementerian atau kerajaan mana yang bertanggungjawab, tetapi sama ada rakyat Johor mendapat manfaat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan dakwaan bahawa kerajaan negeri tidak sehaluan atau gagal memberikan kerjasama kepada Kerajaan Persekutuan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Julai depan sebagai hari pengundian bagi PRN Johor, manakala penamaan calon berlangsung pada 27 Jun.
