Topik diikuti
Pergi ke BHkuOnn Hafiz: Projek rakyat tidak wajar dipolitik
Onn Hafiz: Projek rakyat tidak wajar dipolitik
Menteri Besar Johor sedia kosongkan jadual demi projek KTM Komuter biarpun surat jemputan rasmi masih belum tiba ke pejabat
Onn Hafiz: Projek rakyat tidak wajar dipolitik
JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menyatakan kesediaan menghadiri program pelancaran projek KTM Komuter oleh Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), yang juga Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, pada 16 Jun.
Namun, beliau pada masa sama mempersoalkan kelewatan penghantaran surat jemputan rasmi daripada Kementerian Pengangkutan.
Beliau berkata walaupun pelawaan itu disambut baik, sehingga kini pejabatnya masih belum menerima sebarang surat rasmi atau butiran lengkap program berkenaan.
“Saya berasa terharu dan lega kerana akhirnya saya dan Kerajaan Negeri Johor mendapat jemputan yang ‘ikhlas’ daripada Menteri Pengangkutan untuk melihat pelaksanaan projek KTM Komuter pada Selasa (16 Jun).
“Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk hadir dan insya-Allah akan melapangkan jadual saya bagi tujuan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada 14 Jun.
Menurut beliau, projek pengangkutan awam seperti KTM Komuter adalah demi kepentingan rakyat Johor dan tidak seharusnya dikaitkan dengan kerjasama politik.
Datuk Onn Hafiz berkata urusan rasmi kerajaan dan kerjasama politik adalah dua perkara berbeza yang perlu dilihat secara profesional.
Beliau, bagaimanapun, mendakwa beberapa program melibatkan Kementerian Pengangkutan sebelum ini tidak secara rasmi mengundang beliau atau wakil Kerajaan Negeri Johor, termasuk lawatan berkaitan Laluan Sistem Transit Laju (RTS), Sistem Penguatkuasaan Kenderaan Asing (VEP), Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), serta projek Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS).
Menurutnya, lawatan Menteri Pengangkutan ke tapak projek RTS Link pada April lalu turut menimbulkan persoalan apabila beberapa pemimpin DAP Johor dilihat hadir, sedangkan kerajaan negeri tidak menerima jemputan rasmi.
Dalam pada itu, Datuk Onn Hafiz menegaskan kerajaan negeri turut memainkan peranan penting dalam menjayakan projek KTM Komuter.
Beliau berkata Kerajaan Johor telah memperuntukkan RM700,000 ($221,761) bagi kerja menaik taraf penampilan tren, selain membantu menyediakan perkhidmatan bas pengantara melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ).
“Kerajaan Johor juga menyelaras laluan Bas Muafakat Johor serta menaja tempat duduk demi keselesaan penumpang.
“Perkongsian ini bukan untuk menuntut penghargaan, tetapi sekadar memaklumkan Johor turut membantu menjayakan inisiatif Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata isu utama yang dibangkitkan bukan mengenai kehadiran ke program kementerian, sebaliknya soal jemputan rasmi yang tidak disalurkan kepada kerajaan negeri dalam beberapa lawatan tertentu.
Menurutnya, penghantaran surat jemputan rasmi mencerminkan adab serta profesionalisme antara institusi kerajaan.
Dalam kenyataan berasingan, Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah, turut mempersoalkan keikhlasan pelawaan yang dibuat secara terbuka oleh Menteri Pengangkutan.
“Jika benar mahu bekerjasama, gunakan saluran yang betul dan rasmi, bukannya sekadar kenyataan terbuka yang lebih berbau retorik politik,” katanya.
