Topik diikuti
Pergi ke BHkuOnn Hafiz tolak dakwaan kaitan JCorp dengan kebakaran hutan di Indonesia
Syarikat pelaburan milik kerajaan Johor perjelas tidak miliki atau kendali sebarang ladang di luar M’sia
Onn Hafiz tolak dakwaan kaitan JCorp dengan kebakaran hutan di Indonesia
JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menolak dakwaan yang mengaitkan Johor Corporation (JCorp) dengan kebakaran hutan di Indonesia, sambil menegaskan bahawa institusi pelaburan milik kerajaan negeri itu dan syarikat dalam kumpulannya tidak memiliki atau mengendalikan ladang di luar Malaysia.
Beliau berkata laporan yang cuba mengaitkan JCorp dengan kejadian tersebut dipandang serius dan mengingatkan semua pihak supaya tidak memutarbelitkan fakta.
“Saya ingin menegaskan jangan ada mana-mana pihak mengambil kesempatan memutar belit fakta sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah JCorp, sebuah institusi pelaburan milik Kerajaan Johor, terlibat dalam kejadian kebakaran hutan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada 29 Oktober.
Merujuk penjelasan rasmi JCorp, Datuk Onn Hafiz berkata Kulim (Malaysia) Berhad, melalui anak syarikatnya, telah melupuskan kepentingan dalam lima syarikat perladangan di Indonesia pada 2007.
Kulim kemudian melupuskan keseluruhan kepentingan ekuitinya dalam dua lagi syarikat di Indonesia pada 6 Julai 2023.
“Justeru, dakwaan yang mengaitkan JCorp dengan pemilikan atau pengendalian operasi semasa syarikat-syarikat berkenaan serta kejadian kebakaran tersebut adalah palsu dan mengelirukan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tuntutan terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban perlu berlandaskan fakta serta bukti sahih.
Menurutnya, kerajaan Johor akan terus mempertahankan integriti, kewibawaan dan reputasi negeri daripada tuduhan tidak berasas.
Terdahulu, JCorp dalam satu kenyataan menafikan dakwaan mengaitkan pihaknya dengan syarikat perladangan Indonesia yang didakwa mempunyai kaitan dengan kebakaran hutan dan tanah, susulan laporan diterbitkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (Walhi).
Dalam kenyataan pada 27 Oktober, JCorp menjelaskan pihaknya tidak memiliki atau mengendalikan sebarang ladang di luar Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Datuk Onn Hafiz berkata Johor merekodkan 19.7 juta kemasukan pelawat antarabangsa dari Januari hingga September 2026, selain 4.7 juta pelancong menginap sepanjang enam bulan pertama tahun ini.
Beliau berkongsi angka tersebut dalam kenyataan mengenai perasmian sesi dialog Tahun Melawat Johor 2026 di Johor Bahru, yang menghimpunkan penggiat industri, agensi kerajaan dan rakan strategik.
Menurutnya, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pembangunan empat produk pelancongan dengan peruntukan hampir RM37.2 juta ($11.7 juta).
Projek berkenaan melibatkan Pusat Rekreasi Sungai Lebam, Pusat Kebudayaan Pengerang, Taman Negara Gunung Ledang dan Galeri Askar Timbalan Setia Negeri Johor.
Datuk Onn Hafiz berkata pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan RTS Link yang dijangka beroperasi pada 2027 memerlukan kerjasama lebih erat dengan penggiat industri supaya Johor bersedia menerima lebih ramai pelancong.
Perbincangan dalam sesi dialog itu turut merangkumi usaha memperluas promosi digital bersama TikTok serta meningkatkan kemudahan pengangkutan dan hubungan antara destinasi bersama Grab Malaysia, Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor.
Beliau berharap pembangunan tarikan yang lebih berkualiti dapat menggalak pelancong tinggal lebih lama dan kembali mengunjungi Johor, sekali gus memperluas manfaat ekonomi kepada penduduk negeri itu.