Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menegaskan bahawa kejayaan ekonomi yang dicapai sepanjang dua tahun kebelakangan ini hanyalah permulaan kepada transformasi lebih besar melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Beliau berkata Perjanjian JS-SEZ yang dimeterai antara Malaysia dengan Singapura pada Januari lalu membuka lembaran baru dalam hubungan dua hala serta menjadikan Johor pintu masuk utama pelaburan serantau.
Berucap pada sesi Penggulungan Belanjawan Johor 2026 pada 21 November, beliau berkata penubuhan zon khas yang merentasi sempadan dua negara itu bukan sahaja unik di peringkat dunia, tetapi menjadi asas kepada lonjakan pelaburan ke Johor sepanjang 2025.
“Selepas Perjanjian JS-SEZ ditandatangani, Johor terus melakar sejarah. Pelaburan diluluskan mencecah RM91.1 bilion ($28.7 bilion) dan kita berada di landasan untuk merekod lebih RM102 bilion menjelang hujung tahun 2025, jumlah tertinggi dalam sejarah negara,” katanya.
Menurutnya, hubungan rapat Johor-Singapura memberi nilai tambah kepada JS-SEZ kerana kedua-duanya saling melengkapi dari segi tenaga kerja mahir, kedudukan geografi dan kekuatan ekonomi.
Malah, beliau menegaskan bahawa kejayaan Johor tidak dicapai dalam ruang vakum, tetapi turut disokong realiti bahawa Johor berkongsi sempadan dengan salah satu ekonomi paling maju di dunia.
Beliau turut memetik ucapan mantan Perdana Menteri Singapura, mendiang Encik Lee Kuan Yew, pada 1990 yang menjangkakan Johor mampu “mengatasi Singapura secara ekonomi” sekiranya pembangunan prasarana dan pendidikan teknikal diberikan keutamaan.
Datuk Onn Hafiz berkata petikan itu kekal relevan apabila dilihat dalam konteks kerjasama moden hari ini.
“Matlamat kita bukan untuk bersaing, tetapi menjadi rakan strategik yang saling melengkapi. Kita mahu membina wilayah kemakmuran bersama, bukan sekadar menjadi jiran kepada negara maju,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa momentum pelaburan yang tinggi dicapai Johor berlaku meskipun beberapa projek utama yang menghubungkan kedua-dua negara seperti Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) antara Johor Bahru dengan Singapura yang masih belum beroperasi.
Menurutnya, apabila RTS Link mula berfungsi sepenuhnya, limpahan ekonomi dari kedua-dua belah sempadan dijangka meningkat secara lebih dramatik.
“Bayangkan potensi kita apabila RTS mula beroperasi dan apabila prasarana lain seperti Tren Elektrik (ETS), Sistem Aliran Transit Automasi Bertingkat (E-ART) dan lebuh raya strategik siap. Semua pencapaian hari ini hanyalah permulaan,” ujarnya.
Datuk Onn Hafiz turut menekankan bahawa JS-SEZ bukan destinasi akhir Johor, sebaliknya pemangkin kepada hala tuju ekonomi jangka panjang di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP). JETP memberi tumpuan kepada pembangunan seluruh 10 daerah dan bukan hanya pusat bandar Johor Bahru.
Beliau berkata sasaran 2030 merangkumi peningkatan nilai Hasil Dalam Negara Kasar (GDP) negeri kepada RM260 bilion, pendapatan per kapita melebihi RM69,000 serta penciptaan 200,000 pekerjaan berkemahiran tinggi; sasaran yang katanya hanya boleh dicapai dengan “kerjasama erat dan dasar yang konsisten” antara Johor dengan Kerajaan Persekutuan.
Datuk Onn Hafiz turut menegaskan hasrat Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, agar Kerajaan Persekutuan menyalurkan kembali 25 peratus hasil cukai pendapatan yang disumbangkan Johor.
Ini demi menyelesaikan isu kritikal termasuk kesesakan trafik dan kekurangan tenaga perubatan, yang turut memberi kesan langsung kepada pergerakan rakyat di kedua-dua belah sempadan.
“Ini bukan masa untuk kita selesa. Johor sudah mula mendaki, tetapi laluan di depan lebih tinggi. Dengan JS-SEZ sebagai pemangkin dan kerjasama strategik dengan Singapura, insya-Allah Johor akan muncul sebagai pemacu utama pertumbuhan Malaysia,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg