SPH Logo mobile
Langgan|

‘Op Selamat 26’ Johor catat kes nahas berkurang

‘Op Selamat 26’ Johor catat kes nahas berkurang

Kes maut turun lebih separuh, saman meningkat hampir 20 peratus
Mar 26, 2026 | 3:28 PM

‘Op Selamat 26’ Johor catat kes nahas berkurang

‘Op Selamat 26’, Johor, jenayah, kemalangan jalan raya
Timbalan Ketua Polis Johor, Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Hoo Chuan Huat. - Foto FACEBOOK POLIS JOHOR

JOHOR BAHRU: Pelaksanaan ‘Op Selamat 26’ sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 mencatat penurunan jumlah kemalangan jalan raya di Johor sebanyak 8.28 peratus berbanding 2025.

Timbalan Ketua Polis Johor, Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Hoo Chuan Huat, berkata sepanjang operasi dari 19 hingga 24 Mac, sebanyak 1,506 kes kemalangan direkod berbanding 1,642 kes pada 2025.

Menurutnya, penurunan paling ketara melibatkan kemalangan maut yang berkurangan daripada 24 kes kepada 10 kes, iaitu penurunan sebanyak 58.33 peratus.

“Jumlah kematian turut menurun daripada 26 orang kepada 11 orang, iaitu pengurangan sebanyak 57.69 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada 25 Mac.

Menurutnya, bagi kategori kemalangan lain, jumlah kes turut berkurang daripada 1,618 kepada 1,496 kes.

Namun katanya, dari segi penguatkuasaan, jumlah saman yang dikeluarkan meningkat kepada 12,049 berbanding 10,189 sebelum ini, iaitu peningkatan sebanyak 18.25 peratus.

Sepanjang operasi itu, seramai 2,018 pegawai dan anggota polis digerakkan dengan tumpuan diberikan kepada 47 lokasi hotspot (lokasi akses Wi-Fi boleh diperolehi) serta 38 lokasi blackspot (sukar mendapat isyarat dan liputan tidak begitu baik yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan.

Beliau berkata penunggang dan pembonceng motosikal kekal menjadi penyumbang utama kemalangan maut dengan sembilan daripada 11 kematian melibatkan golongan tersebut.

Dalam masa sama, kadar jenayah pecah rumah sepanjang tempoh operasi kekal tidak berubah dengan 12 kes direkodkan bagi 2025 dan 2026.

DCP Hoo berkata polis turut menerima 1,571 borang maklumat balik kampung melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) atau rondaan telefon bijak sukarela, bagi membantu pemantauan keselamatan kediaman sepanjang musim perayaan.

“Secara keseluruhan, ‘Op Selamat 26’ berjaya mengurangkan kadar kemalangan dan mengawal jenayah pecah rumah melalui pendekatan pencegahan awal, advokasi serta penguatkuasaan secara menyeluruh,” katanya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg