KOTA BHARU: Sebanyak RM2.5 juta ($750,000) berjaya dikutip sepanjang hampir empat bulan Op Tunggak yang dimulakan sejak Januari lalu.
Operasi itu membabitkan empat negeri yang berhampiran sempadan Thailand iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Perak, dengan menyasarkan pemandu warga asing yang culas membayar tunggakan saman.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Encik Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata majoriti pemandu yang dikesan melakukan kesalahan adalah warga Thailand yang membawa kenderaan penumpang memasuki negara ini.
“Setakat ini, JPJ mengutip RM2.5 juta hasil saman tertunggak yang dilakukan pemandu warga asing terutama dari Thailand.
“Tunggakan saman yang paling tinggi dikesan di Perlis, dan ada satu kenderaan memiliki beberapa tunggakan saman dengan nilai keseluruhan saman berjumlah RM65,000,” katanya selepas operasi pemantauan dan pemeriksaan bas sempena Hari Raya Aidilfitri di Terminal Bas Lembah Sireh di sini pada 3 April malam, lapor Harian Metro.
Encik Muhammad Kifli berkata pihaknya akan mempergiat lagi operasi untuk mengesan pemandu warga asing yang culas membayar tunggakan saman dan menggesa supaya mereka segera melangsaikan tunggakan sebelum boleh meneruskan perjalanan.
Menurutnya lagi, operasi akan diperhebatkan menjelang hujung minggu ini kerana kebiasaannya pemandu warga asing akan memandu kenderaan mereka untuk membawa masuk pekerja dari Thailand memasuki negara ini.
“Kebanyakannya menjadikan kenderaan yang dipandu untuk membawa pekerja dari sana (Thailand) bekerja di kedai makan di negara ini (Malaysia).
“Selepas ini kita akan pergiatkan lagi (operasi) sebab dijangkakan Jumaat, Sabtu dan Ahad ini semakin ramai akan masuk (ke negara ini),” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg