Topik diikuti
Pergi ke BHkuOperasi buru anjing liar besar-besaran di Johor
Operasi buru anjing liar besar-besaran di Johor
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan melancarkan operasi memburu anjing liar besar-besaran susulan kejadian menimpa seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang diserang sekumpulan haiwan berkenaan di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat, pada 5 September.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Encik Mohd Fared Mohd Khalid berkata operasi berkenaan telah mula dilaksanakan sejak 7 September khususnya di lokasi berkenaan.
Menurut beliau, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, telah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan operasi berkenaan.
“Pada waktu ini, operasi itu telah mula dilaksanakan di Batu Pahat. Tetapi saya percaya isu ini berlaku di banyak kawasan, sehubungan itu PBT telah diminta melipat gandakan operasi di kawasan masing-masing.
“Hidupan liar termasuk anjing yang mengancam keselamatan awam tidak mempunyai tempat di mata masyarakat, sehubungan itu tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil.
“Langkah segera perlu diambil bagi memastikan anjing-anjing yang menyerang diperiksa sama ada menghidap rabies atau tidak,” katanya lapor Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarah kanak-kanak berkenaan di Hospital Sultanah Aminah di sini pada 8 September.
Tambah Encik Mohd Fared, Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) telah melaksanakan tiga operasi tangkapan anjing liar di kawasan berkenaan sepanjang bulan lalu, dengan sebanyak 22 ekor anjing liar telah dapat ditangkap.
“PBT telah jalankan operasi susulan aduan awam yang diterima melibatkan kawasan tersebut, tetapi walaupun operasi telah dibuat, kita dapati masih terdapat banyak lagi haiwan berkenaan di kawasan tersebut.
“Sehubungan itu, saya berharap PBT akan menggunakan pelbagai kaedah untuk memastikan haiwan-haiwan berkenaan dapat ditangkap demi kesejahteraan dan keselamatan masyarakat setempat,” katanya sambil memberitahu Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj) akan menanggung kos rawatan kanak-kanak tersebut.
Pada 6 September, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Penolong Pesuruhjaya (ACP) Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, dilaporkan berkata seorang kanak-kanak perempuan cedera parah pada keseluruhan badannya apabila diserang sekumpulan anjing liar ketika berada di hadapan rumahnya di Peserai, di sini pada 5 September.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada 7 pagi.
“Ketika kejadian, mangsa sedang berada di hadapan rumah sebelum diserang sekumpulan anjing liar di kawasan berkenaan sehingga menyebabkannya cedera di hampir seluruh badan.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini untuk rawatan, sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
