Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Operasi haji M’sia 2024 paling berjaya: Menteri Agama

Jun 21, 2024 | 3:35 PM
ibadah haji
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkongsi perkembangan terkini jemaah Malaysia kepada petugas media Tabung Haji (TH) di Makkah.   - Foto BERNAMA

MAKKAH: Operasi Musim Haji Malaysia 1445H/2024 bermula pada 9 Mei lalu, kini menghampiri penghujungnya dan disifatkan sebagai paling berjaya dan cemerlang berbanding 2023.

Ia berkat usaha berterusan dan persediaan untuk melaksanakan urusan haji dengan mengambil kira keperluan kesihatan, kebajikan dan keselamatan jemaah Malaysia bermula daripada peringkat melaporkan diri di stesen berlepas dari Malaysia, semasa berada di Madinah dan Makkah, ketika operasi Masya’ir di Arafah, Muzdalifah dan Mina, sehingga kembali semula ke tanah air.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Naim Mokhtar, berkata semua 31,600 anggota jemaah haji Malaysia selesai melaksanakan ibadat haji tanpa sebarang perkara yang tidak diingini berlaku kecuali 14 anggota jemaah haji yang meninggal dunia manakala dua anggota jemaah haji tidak dapat berwukuf kerana memerlukan rawatan di Hospital Arab Saudi.

“Daripada jumlah tersebut seramai 12,518 anggota jemaah atau 52 peratus daripada kira-kira 24,000 anggota jemaah Muassasah memilih untuk melakukan Nafar Awwal sudah meninggalkan Mina pada 19 Jun.

“Mengenai pergerakan jemaah haji yang melaksanakan Nafar Thani, semua jemaah sudah tiba di Makkah tengah hari 19 Jun.

“Insya-Allah, jemaah haji kita akan mula berangkat pulang bermula 24 Jun ini dan penerbangan akhir dijangkakan berlepas pada 20 Julai,” katanya kepada petugas media Tabung Haji (TH) di Makkah pada 19 Jun, lapor Berita Harian Malaysia.

Sementara itu, komitmen berterusan untuk menyantuni duyufurrahman (tetamu Allah) oleh TH bermula dari Malaysia hingga ke Tanah Suci haruslah diberikan penghargaan oleh semua pihak yang terbabit sama ada di Malaysia atau Arab Saudi.

Datuk Mohd Na’im berkata pihaknya juga mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua jemaah haji Malaysia yang sentiasa mengekalkan disiplin sepanjang berada di Tanah Suci.

“Walaupun ada sedikit cabaran semasa di Masya’ir, jemaah haji kita cukup bersabar dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas haji.

“... Saya dan pihak pengurusan kanan TH bersyukur kerana tiada sebarang musibah yang berlaku dan berdoa agar semua urusan jemaah haji Malaysia dipermudahkan serta dapat menyempurnakan ibadat haji mereka dan dikurniakan haji yang mabrur, insya-Allah,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg