MAKKAH: Enam lagi kematian baru dicatat dalam kalangan 31,600 anggota jemaah haji Malaysia musim ini, menjadikan keseluruhan 14 anggota jemaah haji negara meninggal dunia di tanah suci setakat 19 Jun 2024.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, memaklumkan kesemua mereka bagaimanapun sempat berwuquf pada 9 Zulhijah (15 Jun 2024).
“Kebanyakan mereka ini meninggal dunia kerana terkena serangan jantung dan mendapat jangkitan kuman pada darah,” katanya kepada petugas media Malaysia pada sidang media terakhir beliau di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH), di Abraj Janadriyah, Makkah, lapor Astro Awani.
Beliau berada di Makkah sejak 8 Jun lalu untuk lawatan kerja dan menghadiri Simposium Haji Perdana serta menunaikan haji bagi musim 2024.
Datuk Mohd Na’im berkata kesemua jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di tanah suci dikebumikan sama ada di Tanah Perkuburan Shuhada Al-Haram atau Tanah Perkuburan Sharayaa, Makkah.
Tambah beliau, waris kepada semua anggota jemaah yang meninggal sudah dimaklumkan mengenai kematian berkenaan.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan dua daripada 94 anggota jemaah yang menerima rawatan di tanah suci, tidak dapat menunaikan haji pada musim ini disebabkan keadaan kesihatan mereka yang tidak mengizinkan.
“Mereka juga tidak dimasukkan dalam program Safari Wukuf atas nasihat doktor, “ katanya.
Safari Wukuf ialah program yang diperkenalkan TH yang mana pesakit yang terlantar dibawa menggunakan bas yang diubah suai menjadi ambulans untuk berwuquf di Arafah selama dua jam dan mendengar khutbah Arafah, sebelum dibawa pulang semula untuk rawatan lanjut.
Datuk Mohd Na’im berkata daripada sejumlah 94 anggota jemaah yang dirawat, 79 orang berada di Pusat Rawatan TH, 12 di Hospital Arab Saudi, manakala bakinya tiga orang dirawat di Klinik Kecemasan di Abraj Janadriyah.
“Kebanyakan mereka ini dirawat kerana ada masalah berkaitan pernafasan seperti jangkitan kuman pada paru-paru disebabkan cuaca panas dan kering,” jelas beliau.
Mengenai operasi haji pula, Datuk Mohd Na’im memaklumkan daripada kuota 31,600, 58 peratus anggota jemaah menyempurnakan Nafar Awwal (melontar jamrah pada dua daripada tiga hari tasyrik), manakala selebihnya Nafar Thani (melontar di ketiga-tiga jamrah pada hari tasyrik) dan pulang ke Makkah semula dari Mina pada tengah hari 19 Jun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg