Operasi mencari nelayan hilang ditangguh susulan penemuan mayat di perairan S’pura
Operasi mencari nelayan hilang ditangguh susulan penemuan mayat di perairan S’pura
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Pengerang, Kota Tinggi, sejak 1 Februari ditangguhkan sementara susulan penemuan satu mayat di perairan Singapura pada 4 Februari.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam, berkata penangguhan operasi dibuat bagi memberi ruang kepada proses pengecaman identiti mayat yang ditemui, selain menunggu pengesahan rasmi sama ada penemuan tersebut mempunyai kaitan dengan kes kehilangan nelayan berkenaan.
“Mayat ditemukan lebih kurang 9.37 pagi pada 4 Februari berhampiran boya timur perairan Singapura,” katanya dalam satu kenyataan pada 5 Februari.
Operasi SAR sebelum ini digerakkan secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi keselamatan dan maritim, termasuk rondaan laut serta pemantauan di kawasan perairan sekitar lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
Namun, selepas beberapa hari pencarian tanpa petunjuk baru, penemuan mayat di perairan Singapura membawa kepada keputusan untuk menangguhkan operasi buat sementara waktu.
“Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah mengaktifkan Operasi SAR sejurus menerima laporan kehilangan mangsa, Encik Mustaffa Hussain, 55 tahun, selepas bot gentian kaca yang dinaikinya terlibat dalam insiden pelanggaran di perairan Pengerang.
“Sehingga 4 Februari, pencarian telah meliputi kawasan melebihi 60 batu nautika persegi dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), Pejabat Penghulu, Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pengerang serta bantuan orang awam,” katanya.
Operasi akan disambung semula sekiranya proses pengecaman mengesahkan mayat berkenaan bukan mangsa yang dilaporkan hilang.
Terdahulu, seorang nelayan tempatan dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bersama seorang pekerjanya terbalik dipercayai akibat dilanggar sebuah bot lain di perairan Pengerang, pada 1 Februari.

