PUTRAJAYA: Orang ramai mula membanjiri Dataran Putrajaya sejak petang 30 Ogos bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang berlangsung pada 31 Ogos.

Kehadiran orang ramai semakin meningkat sejak awal pagi dengan sebahagian mereka datang bersama keluarga serta membawa barangan keperluan bagi menunggu acara sambutan.

Tinjauan Berita Harian Malaysia (BHM) di sekitar Dataran Putrajaya mendapati ada dalam kalangan pengunjung yang sanggup memasang khemah dan bermalam di kaki lima berhampiran lokasi sambutan semata-mata untuk menyaksikan sendiri dari dekat kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan.

Semangat dan kesungguhan orang ramai itu jelas menunjukkan keterujaan mereka untuk bersama-sama meraikan detik bersejarah berkenaan, selain menyaksikan pelbagai acara yang disajikan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026.

Keadaan sekitar Dataran Putrajaya pagi 31 Ogos turut meriah dengan kehadiran orang ramai yang terus memenuhi kawasan berkenaan, sekali gus menjadikan suasana sambutan Hari Kebangsaan 2026 semakin terasa menjelang acara utama.

Sambutan kali ini membabitkan lebih 10,800 peserta, 77 kontinjen, 22 kumpulan pancaragam, 328 aset darat dan udara serta 112 haiwan dalam perkhidmatan dan 11 kereta berhias yang turut disiarkan dan diikuti jutaan rakyat Malaysia secara langsung melalui kaca televisyen dan laman media sosial.

Mereka mewakili pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta.

Bertemakan ‘Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati’, sambutan dijangka menarik kehadiran kira-kira 80,000 pengunjung itu menyajikan pelbagai persembahan bagi menyemarakkan semangat patriotik, bukan sahaja dalam kalangan pengunjung di Dataran Putrajaya malah mereka yang menyaksikannya secara langsung menerusi televisyen.

Sambutan turut diserikan dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah serta dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan Jemaah Menteri.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersalaman dengan pengunjung di Dataran Putrajaya.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersalaman dengan pengunjung di Dataran Putrajaya. - Foto FACEBOOK JABATAN PERDANA MENTERI

Sambutan dimulakan dengan istiadat ketenteraan diikuti persembahan pentas dan perarakan warna-warni yang menggambarkan aspirasi Malaysia Madani sebagai sebuah negara yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dan menghormati kepelbagaian.

Antara tumpuan ialah penampilan sulung pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) dan aset maritim Bot Kelas Ibrahim rekaan Yang di-Pertuan Agong, mengiring perbarisan kontinjen Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2026 memperlihatkan pengisian perbarisan dan perarakan terdiri daripada komponen kenegaraan, kesejahteraan, ketenteraman awam, keselamatan negara, persembahan udara dan persembahan khas.

Persembahan Rentak Madani Paluan Tradisi, yang diselaraskan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), melibatkan pelbagai agensi, institusi pendidikan serta penggiat seni tanah air pula menjadi penutup acara berprestij berkenaan.