Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Orang ramai buat aduan jurugambar amatur ‘cari makan’ depan KLCC

Dec 17, 2024 | 12:07 PM
Pelancong asing bergambar di depan Menara Berkembar Petronas (KLCC) di Kuala Lumpur. Menurut jurugambar amatur di situ, mereka dari Sabah tetapi disebabkan mereka berkomunikasi dalam bahasa mereka sendiri, misalnya dialek Bajau, dan tidak menggunakan bahasa Melayu, timbul salah faham dan aduan bahawa mereka warga asing.
Pelancong asing bergambar di depan Menara Berkembar Petronas (KLCC) di Kuala Lumpur. Menurut jurugambar amatur di situ, mereka dari Sabah tetapi disebabkan mereka berkomunikasi dalam bahasa mereka sendiri, misalnya dialek Bajau, dan tidak menggunakan bahasa Melayu, timbul salah faham dan aduan bahawa mereka warga asing. - Foto HARIAN METRO

KUALA LUMPUR: “Kebanyakan jurugambar amatur yang ambil gambar di depan Menara Berkembar Petronas (KLCC) bukan warga asing tetapi orang tempatan yang hanya ingin mencari pendapatan.”

Demikian pengakuan seorang jurugambar amatur yang mahu dikenali sebagai Hassan, 27 tahun.

Menurut Encik Hassan, beliau dan beberapa jurugambar lain menyedari ada aduan dibuat oleh orang ramai berhubung kehadiran mereka di sekitar KLCC.

“Saya dengar aduan itu melalui pihak berkuasa yang memberitahu kami semasa melakukan pemeriksaan di kawasan ini.

“Ada aduan kata ada warga asing yang paksa mereka ambil gambar tetapi setahu saya, ramai jurugambar amatur di sini adalah warga tempatan yang berasal dari Sabah,” katanya, lapor Harian Metro.

Menurutnya, salah faham mengenai latar belakang mereka itu mungkin disebabkan mereka berkomunikasi sesama sendiri menggunakan bahasa lain.

“Saya sendiri berasal dari Semporna, Sabah, dan sudah dua tahun saya mengambil gambar di sini. Apabila saya bercakap dengan rakan (jurugambar amatur lain), saya menggunakan bahasa Bajau memandangkan dia juga berbangsa Bajau.

“Kebanyakan masa kami bercakap menggunakan bahasa Melayu tetapi mungkin disebabkan pelat Sabah kami terlalu pekat, kami dianggap warga asing dari Indonesia,” katanya.

Seorang lagi jurugambar amatur yang mahu dikenali sebagai Rashid, 30 tahun, berkata beliau tidak pernah melanggar sebarang peraturan, termasuk membabitkan kesalahan jalan raya.

“Kami di sini hanya untuk mencari wang dengan ambil gambar pengunjung. Harga yang ditawarkan pun murah, iaitu RM5 ($1.52) bagi sekeping gambar, dan kami tidak pernah paksa pengunjung menggunakan khidmat kami.

“Beberapa minggu lalu, kami semua dibawa ke balai polis untuk pemeriksaan, termasuk diambil air kencing.

“Difahamkan bahawa pemeriksaan itu dilakukan kerana pihak berkuasa ada terima aduan mengenai kami mengganggu pengunjung di sini,” kongsinya, yang juga berasal dari Semporna.

Tinjauan di sekitar menara berkembar itu mendapati lebih 10 jurugambar amatur berkumpul di stesen bas serta laluan keluar dari Suria KLCC.

Ada daripada mereka dilihat mendekati pengunjung dan menawarkan perkhidmatan ambil gambar serendah RM5 bagi sekeping gambar, selain pakej RM10 bagi tiga gambar.

Seorang pelancong dari China yang hanya mahu dikenali sebagai Xi, 50-an tahun, berkata beliau tidak suka apabila diganggu jurugambar setiap kali datang ke menara itu.

“Saya sudah beberapa kali datang ke Malaysia dan kali ini saya datang mengikut rombongan bersama isteri saya Sebaik saja kami turun dari bas, sudah ada yang mengekori bertanyakan mahu menggunakan khidmat mereka untuk ambil gambar.

“Ada daripada mereka akan ikut kami setiap masa sepanjang kami berada di sini untuk bertanyakan perkara sama (sama ada ingim mengambil gambar) selagi kami tidak menggunakan khidmat mereka,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg