Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Padi ‘tak menjadi’ akibat cuaca terlalu panas di sebahagian kawasan M’sia

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

Padi ‘tak menjadi’ akibat cuaca terlalu panas di sebahagian kawasan M’sia

Mar 19, 2024 | 12:52 PM



POKOK SENA (Kedah): Cuaca panas melampau melanda daerah Pokok Sena, Kedah, dipercayai antara sebab pesawah di situ mengalami kemerosotan hasil padi antara 20 hingga 30 peratus berbanding musim lalu.


Encik Mohd Farid Shafie, 38 tahun, mendakwa beliau yang mengusahakan lebih 30 hektar sawah turut terkesan dengan suhu panas sejak sebulan lalu dan paling tinggi baru-baru ini sehingga padi menjadi ringan dan kering.

“Padi jadi ringan, jadi hampa (kosong)... suhu ekstrem sangat dan kita ingat panas biasa-biasa sampai ada yang dah buang air 20 hari sebelum mengerat (menuai).

“Tiba-tiba suhu panas sangat mengakibatkan pokok (padi) cepat kering dan buah padi kurang berisi beras.

“Bukan salah siapa pun, ada yang menjadi sampai tujuh dan lapan tan per hektar. Cumanya ada silap percaturan mengakibatkan bendang cepat kering sehingga pokok terbantut dan menjejaskan pokok padi yang tengah bunting ketika itu,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.


Encik Mohd Farid berkata fenomena El Nino yang melanda ketika ini mengakibatkan hasil tuaiannya turut menyusut dan tinggal kira-kira lima tan metrik per hektar berbanding tujuh tan metrik per hektar sebelum ini.

Seorang lagi pesawah, Encik Jamil Abdullah, 44 tahun, berkata Kedah memang memerlukan cuaca panas musim ini bagi menstabilkan tanah untuk rawatan tanah jerlus, tapi bukanlah cuaca yang terlampau panas sehingga menjejaskan hasil petani dan situasi ini di luar jangkaan.


Beliau yang mengusahakan lebih 35 hektar sawah juga terkesan apabila purata hasil diperoleh sekitar enam tan per hektar berbanding sebelum ini sebanyak tujuh tan per hektar.


Semakan di laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Pokok Sena mencatatkan 37 darjah Celsius iaitu pada tahap gelombang haba yang merujuk kepada suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut. 

Sementara itu, di kawasan Pasir Mas, Kelantan, lebih 50 pesawah membabitkan kawasan lebih 200 hektar di Kampung Aur Duri, buntu apabila sebahagian besar tanaman yang diusahakan rosak akibat ketiadaan air berikutan musim kemarau.

Mereka mendakwa sebahagian besar padi yang diusahakan sejak Disember 2023 mulai rosak sejak dua minggu lalu, manakala sebahagian lagi hanya mampu bertahan seminggu sahaja.

Tinjauan di kawasan berkenaan mendapati tanah sawah di lokasi berkenaan kering dan merekah, manakala tali air yang menjadi punca air mereka juga kering-kontang.

Pesawah, Encik Rasul Zulkifli, 26 tahun, berkata situasi yang berlaku sangat mengecewakan kerana sudah tiga musim berturut-turut beliau mengalami kerugian akibat masalah air.

“Saya mengusahakan sawah seluas enam hektar dan hampir keseluruhan sudah rosak. Tinggal sebahagian kecil sahaja masih selamat namun hanya mampu bertahan seminggu sahaja lagi.

“Saya buntu, modal dikeluarkan membabitkan puluhan ribu, beberapa ekor lembu juga sudah dijual kerana mahu dijadikan modal padi dengan harapan mampu memperoleh keuntungan.

“Namun sebaliknya yang berlaku apabila saya berdepan kerugian dan modal pun lebur, macam mana nak bayar hutang dengan Agrobank pun saya tidak tahu,” katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >