Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura lancar laman henti vape sebagai rujukan, papar bahaya

Tekankan pendirian sifar toleransi oleh pemerintah terhadap penggunaan
Aug 19, 2025 | 7:56 PM
Singapura, vape, laman mikro, Ong Ye Kung
Satu laman mikro antivape muncul di gov.sg pada 19 Ogos setelah Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyatakan dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) bahawa pemerintah akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap gejala itu. - Foto fail

Satu laman mikro antivape muncul di Gov.sg pada 19 Ogos setelah Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyatakan dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) bahawa pemerintah akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap gejala itu.

Bertajuk Stop Vaping, laman tersebut disiarkan pada 18 Ogos, menurut laporan akhbar The Straits Times.

Ia menyifatkan rokok elektronik, atau vape, sebagai ancaman kepada kesihatan awam, serta memaparkan maklumat mengenai bahaya penggunaan vape, termasuk sumber rujukan, talian bantuan dan saluran untuk membuat laporan.

Laman tersebut menunjukkan dengan jelas bahawa pemerintah mengambil pendirian sifar toleransi terhadap penggunaan vape, sambil menggesa pengguna supaya membuang peranti mereka dan berhenti dengan segera.

Poster antivape baru yang dimuat naik ke laman Stop Vaping juga telah dikesan dalam kawasan masyarakat seperti kolong blok dan ruang berhampiran lif, dengan memberi jaminan kepada orang ramai bahawa tiada penalti akan dikenakan terhadap mereka yang membuang vape.

Penggunaan vape telah diharamkan di Singapura sejak 2018, dan mereka yang didapati memiliki, menggunakan atau membeli vape boleh dikenakan denda sehingga $2,000.

Mereka yang didapati memiliki, mengimport atau menjual Kpod, iaitu vape yang dicampur etomidate boleh dikenakan denda sehingga $10,000 dan penjara sehingga dua tahun.

Etomidate ialah bahan yang digunakan sebagai agen anestetik atau ubat bius yang disuntik terus ke dalam urat di bawah pengawasan klinikal dan bukan disedut terus ke dalam paru-paru.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, telah memuat naik sebuah video untuk mengucapkan terima kasih kepada para pempengaruh dan pencipta kandungan kerana menggunakan platform mereka untuk bersuara menentang penggunaan vape sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Dalam video yang dimuat naik pada 19 Ogos itu, Encik Ong berkata:

“Anda menggunakan kisah, fakta, dan suara anda sendiri untuk melindungi para belia Singapura.

“Ini bukanlah satu kempen, tetapi satu masyarakat yang bersatu, secara menyeluruh, untuk mengambil pendirian menentang penggunaan vape.

“Ini kerana kita tahu, kita telah menyaksikan, atau kita sendiri melihat secara langsung bagaimana vape dan etomidate telah menjejaskan serta memudaratkan anak muda kita.”

Pada 17 Ogos, Encik Wong berkata bahawa pemerintah akan mengambil tindakan yang jauh lebih tegas terhadap penggunaan vape dan menanganinya sebagai isu dadah, dengan hukuman lebih berat akan dikenakan.

Beliau menegaskan bahawa walaupun penggunaan vape telah diharamkan di sini, masih terdapat pihak yang menyeludup masuk vape dan mencari jalan untuk mengelakkan undang-undang.

Beliau menambah banyak daripada vape ini dicampur dengan bahan berbahaya seperti etomidate.

Ia merangkumi kira-kira satu pertiga daripada alat yang telah dirampas di Singapura.

“Kami akan mempertingkatkan penguatkuasaan di seluruh negara.

“Kami akan melancarkan usaha pendidikan awam besar, bermula di sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IHL), dan juga semasa Perkhidmatan Negara,” kata Encik Wong.

“Ini bukanlah satu kempen, tetapi satu masyarakat yang bersatu, secara menyeluruh, untuk mengambil pendirian menentang penggunaan vape. Ini kerana kita tahu, kita telah menyaksikan, atau kita sendiri melihat secara langsung bagaimana vape dan etomidate telah menjejaskan serta memudaratkan anak muda kita.”
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg