Topik diikuti
Pergi ke BHkuPakatan Harapan Johor diminta henti ‘obses kerusi’
Pakatan Harapan Johor diminta henti ‘obses kerusi’
Pakatan Harapan Johor diminta henti ‘obses kerusi’
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, menasihatkan pimpinan Pakatan Harapan (PH) Johor supaya tidak terlalu “obses kerusi” dan sebaliknya memberi tumpuan kepada khidmat terhadap masyarakat.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Iskandar Puteri berkata, pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) dilihat terlalu ghairah membicarakan soal kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk ketika Konvensyen PH 2026 pada 17 Mei.
Jelasnya, penyokong Amanah sendiri seharusnya menilai sumbangan parti itu terhadap pembangunan negeri Johor sejak kebelakangan ini.
“Rasanya ini juga bukan pertama kali mereka menyebut mengenai keinginan mendapatkan kerusi DUN.
“Jangan tunjuk sangat kepada rakyat bahawa mereka hanya inginkan kuasa, sebaliknya berikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi PH Johor, Encik Aminolhuda Hassan, yang mendakwa tindakan kerajaan negeri melantik lima Adun lantikan menunjukkan Barisan Nasional (BN) bimbang kehilangan sokongan rakyat, khususnya di kawasan bandar.
Encik Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata terdapat tujuh kawasan DUN di Johor mempunyai lebih 100,000 pengundi termasuk Kota Iskandar, namun kerajaan negeri didakwa tidak berani melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Menurutnya, jika persempadanan semula dilaksanakan, beberapa kerusi baru boleh diwujudkan di kawasan bandar yang didakwa menjadi kubu kuat PH.
“Kalau dibuat persempadanan semula, kawasan bandar akan bertambah dan mereka tahu sokongan di kawasan itu banyak memihak kepada PH.
“Sebab itu mereka tidak berani buat persempadanan semula,” kata Encik Aminolhuda.
Beliau turut mendakwa kawasan seperti Kota Iskandar mempunyai lebih 131,000 pengundi dan berpotensi dipecahkan kepada beberapa kerusi tambahan sekiranya persempadanan semula dilaksanakan.
Jelasnya, kelulusan pelantikan Adun lantikan berbanding pelaksanaan persempadanan semula menunjukkan BN bimbang berdepan kekalahan di kawasan bandar.
Mengulas dakwaan itu, Datuk Pandak berkata PH dilihat terlalu gemar bermain persepsi politik sehingga seolah-olah rakyat Johor hanya memikirkan soal perebutan kerusi semata-mata.
Katanya, rakyat hari ini lebih bijak menilai pemimpin yang bekerja berbanding pihak yang hanya sibuk mengira jumlah kerusi sebelum pilihan raya.
Datuk Pandak berkata jika PH benar-benar yakin dengan sokongan rakyat, mereka tidak perlu terus-menerus memainkan isu persempadanan semula seolah-olah kemenangan sudah berada di tangan.
“Pilihan raya belum sampai, tetapi mereka sudah sibuk hendak tambah kerusi. Orang Johor ini mudah sahaja, mereka tengok siapa buat kerja.
“Kalau asyik bercakap soal hendak tambah kerusi tetapi masalah rakyat tidak selesai, nanti rakyat sendiri yang ‘tarik kerusi’ mereka,” katanya.
Beliau berkata keputusan muktamad tetap berada di tangan rakyat Johor untuk menentukan pihak yang layak mentadbir negeri ini.
“Mungkin ini cara mereka untuk lari daripada bayang-bayang kekalahan lalu dengan terus menyebut soal kerusi sehingga ia menjadi kenyataan.
“Tetapi kita di Kota Iskandar tidak gentar dan bersedia berhadapan dengan mana-mana pihak yang mahu bertanding di kawasan DUN ini,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Datuk Pandak menewaskan Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Encik Dzulkefly Ahmad, yang mewakili PH dengan majoriti 4,061 undi.
