BATU PAHAT: Seorang pekerja pendawaian elektrik dikenakan hukuman denda RM10,000 ($3,029) selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan menganiaya anak saudara perempuannya dengan memaksanya meminum air ketum, sebelum merakam dan memuat naik video kejadian itu ke media sosial, pada November 2024.
Hakim Osman Affendi menjatuhkan hukuman denda itu terhadap tertuduh yang berusia 24 tahun selepas dia membuat pengakuan bersalah sebaik tuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen Batu Pahat, Johor, pada 25 Februari.
Tertuduh kemudian membayar denda tersebut, lapor Harian Metro.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan perintah bon berkelakuan baik dengan cagaran RM2,000 selama dua tahun serta khidmat masyarakat 120 jam dalam tempoh enam bulan bermula dari tarikh perintah dikeluarkan.
Mengikut tuduhan, pemuda itu yang masih bujang didakwa menganiaya kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dengan cara menyuruhnya meminum racun mitragynine (air ketum).
Ketum dikategori sebagai racun yang boleh menyebabkan ketagihan.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Rengit, Batu Pahat, Johor, pada 10.51 malam, 2 November 2024.
Ketika rayuan meminta hukuman diringankan, tertuduh berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu dan menyesali ketelanjurannya menganiaya anak saudaranya.
Berdasarkan fakta kes, polis menahan tertuduh pada 4 November 2024, selepas menerima laporan berhubung video tular di media sosial yang memaparkan perbuatan tertuduh terhadap kanak-kanak tersebut.
Penahanan itu membolehkan polis merampas telefon bimbit tertuduh dan sebotol air ketum.
Hasil pemeriksaan dalam telefon bimbit itu menemui video kanak-kanak yang disuruh minum air ketum. Ia sama seperti video yang tular di media sosial.
Video dan air ketum itu kemudian dihantar ke Jabatan Forensik dan Jabatan Kimia dengan laporan diperoleh mendapati video terbabit disahkan sama seperti yang ditularkan, manakala air ketum itu didapati mengandungi racun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg