Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia terus jadi sasaran sindiket transit dadah

Dadah bernilai RM1.67b dirampas sejak Mac 24
Feb 19, 2025 | 4:37 PM
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin, (tengah), memeriksa barisan kawalan kehormatan pada Majlis Perasmian ibu Pejabat Polis Daerah Sik, di Kedah, pada 19 Februari.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin, (tengah), memeriksa barisan kawalan kehormatan pada Majlis Perasmian ibu Pejabat Polis Daerah Sik, di Kedah, pada 19 Februari. - Foto KOSMO!

SIK (Kedah): Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas 102 tan dadah dan racun bernilai RM1.67 bilion ($503 juta) merangkumi jenis sintetik dan konvensional termasuk ketum dalam operasi di seluruh Malaysia dari Mac 2024 hingga 16 Februari 2025.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin, berkata dadah jenis methamphetamine adalah yang tertinggi dirampas iaitu sebanyak 39,397 kilogram (kg) diikuti ganja 3,203kg dan ecstacy 2,513 kg.

Katanya, rampasan lain adalah ketamin (946 kg); pil yaba (786 kg); pil erimin 5 (758 kg); heroin (596 kg); kokain (89 kg), ketum (53,879 kg) dan lain-lain 301 kg.

“Sebanyak 219 sindiket melibatkan 675 tangkapan berjaya ditumpaskan dalam tempoh itu. Secara keseluruhannya, seramai 248,885 tangkapan berjaya dilakukan iaitu paling ramai 149,910 orang kerana ujian air kencing positif dadah dan bakinya kerana membekal dan memiliki.

“Tangkapan melibatkan penjawat awam pula seramai 719 orang dengan 365 daripadanya akibat positif dadah diikuti 287 kes memiliki dadah; 61 kes bekalan dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas pula enam orang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik, Kedah, lapor Kosmo!.

Datuk Khaw berkata kadar tuduhan kes dadah di mahkamah pula merekodkan 93.58 peratus, manakala nilai harta disita sebanyak RM98.1 juta, selain RM11.5 juta adalah nilai harta dilucut hak akibat kesalahan dadah.

“Bagaimanapun saya ingin menjelaskan bahawa negara kita masih menjadi lokasi transit untuk dadah-dadah ini dihantar ke negara ketiga menggunakan kontena disebabkan permintaan yang tinggi.

“Sebagai contoh jika syabu bernilai RM33,000 hingga RM35,000 untuk satu kilogram, ia boleh mencecah RM450,000 di negara lain. Jadi dengan jumlah itu tidak mustahil negara kita akan terus menjadi lokasi transit bahan ini,” ujarnya.

Kata Datuk Khaw lagi, pihaknya bersama pengurusan tertinggi Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga sentiasa mencari formula berkesan untuk mengekang kegiatan dadah di Malaysia.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata trend penyalahgunaan dadah dalam tempoh tiga tahun sejak 2022 merekodkan peningkatan ketara apabila seramai 192,857 orang terlibat dalam dadah pada 2024, sekali gus meletakkan kegiatan itu dalam keadaan membimbangkan.

Katanya, berbanding tahun 2023, mereka yang terlibat penyalahgunaan dadah adalah seramai 145,526 orang dan 137,176 orang pula pada 2022.

Pada penghujung 2024 lalu, media melaporkan Malaysia dipercayai dijadikan sebagai transit oleh sindiket dari Thailand untuk menyimpan dadah sebelum diseludup ke negara lain khususnya Australia dan negara-negara Eropah.

Sindiket yang memproses dan mengedar dadah jenis methamphetamine atau syabu itu dihasilkan di kawasan utara Thailand, sebelum dibawa ke selatan negara itu.

Komander Tentera Bahagian Keempat Thailand, Leftenan Jeneral Paisan Nusang, dilapor mendedahkan selepas memproses dadah jenis methamphetamine di kawasan utara Thailand, sindiket akan menghantar barang terlarang tersebut merentasi Sungai Golok di Kelantan, untuk memasuki Malaysia. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg