JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Singapura dipenjara dua hari dan didenda RM12,000 ($3,600) oleh Mahkamah Majistret di sini pada 14 Mac kerana memandu di bawah pengaruh alkohol pada awal Mac.
Sim Kok Siong Daniel, 46 tahun, juga dilucutkan hak memiliki lesen memandu tempatan selama dua tahun bermula tarikh sabitan.
Majistret Nur Fatin Mohamad Farid menjatuhkan hukuman itu selepas Sim mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah, lapor BH Online (Malaysia).
Beliau turut memerintahkan pemandu e-hailing di Singapura itu dipenjara tujuh bulan jika gagal membayar denda itu.
Mengikut kertas pertuduhan, Sim memandu sebuah kereta dengan kandungan alkohol 165 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darahnya, melebihi had yang ditetapkan, iaitu 50 mg dalam 100 ml darah.
Perbuatan itu dilakukannya di Jalan Dato’ Abdullah Tahir di sini pada kira-kira 10 malam pada 5 Mac.
Dia didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda hingga RM30,000 jika sabit kesalahan.
Sebelum hukuman dijatuhkan, Sim, yang tidak diwakili peguam, meminta maaf dan mengaku menyesal akan perbuatannya serta berjanji tidak akan mengulanginya.
“Saya bekerja sebagai pemandu Grab di Singapura dengan pendapatan $5,000 sebulan. Saya juga menanggung isteri yang tidak bekerja dan tiga anak yang masih belajar.
“Saya tidak mampu membayar denda yang tinggi atau dipenjarakan kerana saya merupakan satu-satunya pencari rezeki dalam keluarga,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg