Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

34 bakal didakwa pandu dalam keadaan mabuk

Dec 18, 2024 | 5:44 PM
Seramai 34 pemandu berusia antara 24 hingga 63 tahun bakal didakwa pada 19 Disember atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.
Seramai 34 pemandu berusia antara 24 hingga 63 tahun bakal didakwa pada 19 Disember atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol. - Foto PIXABAY

Seramai 34 pemandu berusia antara 24 hingga 63 tahun akan didakwa pada 19 Disember atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Menurut kenyataan polis pada 18 Disember, mereka ditangkap antara Ogos dan Disember selepas gagal ujian alat pengesan alkohol.

Dua daripada pemandu tersebut adalah pesalah berulang.

Seorang lelaki 36 tahun dan seorang lagi yang berusia 44 tahun ditahan semasa pemeriksaan polis masing-masing pada 30 September dan 5 November.

Mereka didapati memandu dalam keadaan mabuk, menurut laporan The Straits Times.

Pesalah berulang boleh didenda sehingga $20,000 dan dipenjara sehingga dua tahun.

Sementara itu, dua lagi pemandu menghadapi tuduhan tambahan kerana meninggalkan kenderaan mereka “dalam keadaan yang menyulitkan orang lain.”

Seorang lelaki berusia 52 tahun telah memberhentikan keretanya di Airport Road, manakala seorang lagi yang berusia 33 tahun memberhentikan keretanya di Brickland Road.

Polis berkata keadaan ini menghalang lalu lintas dan boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

Hasil siasatan mendapati kedua-dua lelaki tersebut tertidur di belakang stereng selepas memandu dalam keadaan mabuk.

Pesalah kali pertama yang disabit kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol boleh dikenakan denda sehingga $10,000 atau hukuman penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.

Selain memandu di bawah pengaruh alkohol, pesalah yang meninggalkan kereta mereka dalam keadaan menyulitkan orang lain juga boleh dikenakan denda sehingga $2,000 atau dipenjara sehingga tiga bulan, atau kedua-duanya sekali.

Polis menegaskan memandu di bawah pengaruh alkohol adalah perbuatan berbahaya dan tidak bertanggungjawab.

Mereka yang merancang untuk minum alkohol dinasihatkan oleh polis supaya menggunakan pengangkutan awam atau memastikan pemandu yang tidak minum alkohol menghantar mereka pulang.

“Semua pemandu diingatkan supaya mematuhi undang-undang lalu lintas demi memastikan jalan raya selamat untuk semua pengguna, terutamanya semasa musim perayaan hujung tahun,” tambahnya.

Statistik dari pihak polis menunjukkan bahawa terdapat 10 kematian daripada 123 kemalangan yang disebabkan oleh pemandu mabuk dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2024, dan seramai 1,260 orang telah ditangkap dalam tempoh yang sama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg