Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Paras air beberapa sungai Johor lebihi tahap bahaya, banjir kian buruk

Mar 22, 2025 | 11:55 AM
Hujan berterusan telah menyebabkan rumah dan kereta para penduduk di Kampung Pasir Tebrau ditenggelami air akibat banjir.
Hujan berterusan telah menyebabkan rumah dan kereta para penduduk di Kampung Pasir Tebrau ditenggelami air akibat banjir. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Paras air di beberapa sungai di Johor mencatatkan bacaan melebihi tahap bahaya sehingga 10 pagi pada 22 Mac, menyusuli hujan lebat yang berterusan.

Laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan Sungai Lenik di Ladang Chaah, Batu Pahat, merekodkan bacaan 6.12 meter, melebihi paras bahaya.

Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang, merekodkan bacaan 15.51 meter, iaitu 1.01 meter melebihi tahap bahaya 14.5 meter.

Selain itu, Sungai Pulai di Kampung Ulu Pulai, Pontian, turut berada dalam tahap bahaya dengan paras air setinggi 3.25 meter, melebihi paras bahaya 3 meter.

Keadaan banjir di Johor semakin buruk dengan bilangan penduduk terjejas terus meningkat melebihi 13,000 orang yang ditempatkan di 95 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata setakat 8 pagi 22 Mac, jumlah mangsa banjir meningkat menjadi 13,089 orang daripada 3,749 keluarga, berbanding 12,686 orang daripada 3,709 keluarga pada malam sebelumnya.

Beliau berkata bilangan mangsa banjir di Johor Bahru terus meningkat kepada 5,402 orang (1,532 keluarga), dengan 27 PPS masih aktif, diikuti Kluang 2,458 orang (708 keluarga), yang ditempatkan di 22 PPS, dan Pontian 1,782 orang (488 keluarga) di 21 PPS, lapor Berita Harian Malaysia.

“Daerah Kota Tinggi menunjukkan peningkatan kepada 1,690 orang (491 keluarga) yang berlindung di 15 PPS, manakala di Kulai mangsa banjir 1,531 orang (460 keluarga) di lapan PPS.

“Batu Pahat turut dilanda banjir dengan 226 mangsa (70 keluarga) dengan satu lagi PPS diaktifkan,” katanya dalam satu kenyataan media, lapor Berita Harian Malaysia.

Bagaimanapun, beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berkata, lima pusat pemindahan sementara di Kluang sudah ditutup.

Bagi Cik Nordiana Moidoo, 39 tahun, banjir yang melanda kampungnya di Kampung Pasir Tebrau adalah yang paling teruk pernah dialaminya.

Menurut beliau, kampung itu berada di kawasan yang sering dilanda banjir, tetapi beliau tidak pernah membayangkan air akan naik setinggi itu hingga hanya bumbung rumahnya yang kelihatan, lapor The Star.

“Saya hanya berjaya menyelamatkan kereta dan sebuah motosikal. Semua barang di dalam rumah hilang. Biasanya paras air hanya mencecah paras lutut, jadi saya tidak pernah membayangkan ia akan menutupi seluruh rumah saya,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di Segamat dan Kluang pada pagi 22 Mac, namun tiada sebarang amaran hujan bagi negeri ini.

Pada masa sama, Sungai Batu Pahat, Sungai Endau dan Sungai Pulai sahaja yang merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya.

Tiga batang jalan yang terputus hubungan, iaitu dua di Kota Tinggi dan satu di Segamat.

Jalan Lukut Cina di Taman Aman, Kota Tinggi, yang terjejas oleh banjir, ditutup kepada semua jenis kenderaan akibat arus deras, dengan Jalan Johor Bahru - Endau dekat Bukit Samsu menjadi laluan alternatif.

Jalan Mawai Lama, Kota Tinggi, juga ditutup kepada semua jenis kenderaan kerana arus deras dan laluan alternatif ialah di Jalan Lok Heng atau Jalan Mawai atau Sungai Mas.

Jalan Jabi, Bukit Tempurung, di Segamat pula ditutup kepada semua jenis kenderaan, namun tiada laluan alternatif.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg