Sidang Dewan Rakyat yang ditangguhkan sementara pada 7 Ogos, sebelum disambung pada 11 Ogos, meninggalkan kehangatan isu membabitkan dakwaan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terhadap pemimpin pembangkang yang dikatakan mempertahankan warga asing dalam isu subsidi petrol RON95.
Datuk Anwar ketika ini berdepan kritikan dan pertikaian ramai, apabila beliau didakwa memetik sumber maklumat palsu dan fitnah daripada akaun di TikTok, untuk menyerang imej pemimpin pembangkang berhubung isu penyasaran subsidi petrol.
Dalam ucapannya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 5 Ogos lalu, Datuk Anwar mendakwa ada pemimpin pembangkang yang mempertahankan hak warga asing untuk menerima subsidi petrol, dengan alasan golongan itu turut menyumbang kepada negara.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen (AP) pembangkang, Datuk Rosol Wahid, meminta Datuk Anwar menamakan pemimpin yang didakwa mengeluarkan kenyataan sedemikan, sebelum Perdana Menteri itu memetik nama Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Itu kenyataan pemimpin kamu sendiri - (AP) Pagoh (Tan Sri Muhyiddin). Lain kali baca betul-betul. Suruh dia datang ke Parlimen, jangan tembak membuta tuli.
“Saya sudah jawab ini. Baca kenyataan Pagoh mengapa kita membebankan warga asing (dengan penarikan subsidi petrol), kerana warga asing juga menyumbang kepada negara,” kata Datuk Anwar.
Bagaimanapun, Tan Sri Muhyiddin yang juga mantan Perdana Menteri kemudian menafikan di Facebook pada 5 Ogos, bahawa beliau pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian dan menuntut Datuk Anwar mengemukakan bukti kenyataannya itu.
“Saya sebenarnya tak pernah cakap begitu, saya mempertikaikan dengan sekeras-kerasnya. Kenyataan itu adalah fitnah dan pembohongan,” katanya.
Polemik yang mengakibatkan kritikan hebat terhadap integriti Datuk Anwar kerana didakwa memetik sumber berita palsu, membawa kepada arahan beliau supaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan terhadap kenyataan yang didakwa dikeluarkan Tan Sri Muhyiddin mengenai isu subsidi itu.
SKMM dalam kenyataan pada 6 Ogos mengesahkan Tan Sri Muhyiddin telah dihubungi untuk memberi keterangan sebagai saksi, dan bukan subjek siasatan dalam kes itu.
Tan Sri Muhyiddin pula pada 7 Ogos ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat, sekali lagi menuntut permohonan maaf terbuka daripada Datuk Anwar yang didakwa telah memfitnah dan mencalar imejnya.
Beliau menegaskan akan mengemukakan usul kepada Dewan Rakyat untuk merujuk Datuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, jika Datuk Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tidak memohon maaf.
“Carilah dalam mana-mana dunia siber, tidak ada kenyataan (sahih) saya buat sebegitu (pertahan warga asing untuk menerima subsidi petrol).
“Jadi, saya cuma nak minta satu perkara daripada Yang Amat Berhormat Tambun (YAB) Tambun (Datuk Anwar), mohon maaf saja. Tarik balik kenyataan, saya rela dan akan terima maafnya sekarang juga.
“Jika YAB Tambun tak minta maaf, saya akan bawa perkara ini kepada Speaker (untuk dirujuk) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,” katanya.
Sebelum ini, AP Pasir Gudang yang juga veteran Parti Keadilan Rakyat (PKR) Encik Hassan Karim, berkata Datuk Anwar perlu memohon maaf atas kenyataannya yang didakwa berunsur fitnah itu, sekiranya gagal membuktikan Tan Sri Muhyiddin mengeluarkan kenyataan membela warga asing.
“Saya sangat percaya dengan keluhuran integriti seseorang. Saya menentang sebarang bentuk fitnah dengan kata-kata fitnah. Saya tidak percaya dengan fungsi imuniti Parlimen,” katanya di Facebook.
Untuk rekod, kerajaan Malaysia sebelum ini bercadang melaksanakan subsidi bersasar untuk petrol RON95, dengan perinciannya akan diumumkan pada September depan.
Pada 27 Julai lalu, Datuk Anwar mengumumkan harga petrol bagi warga Malaysia diturunkan pada RM1.99 sen seliter, pengurangan 6 sen seliter, berbanding harga semasa RM2.05 seliter, selepas kerajaan melaksanakan subsidi petrol itu kelak.
Ini bermakna warga asing yang membeli petrol RON95 di Malaysia selepas subsidi bersasar dilaksanakan nanti, tidak lagi boleh menikmati harga petrol yang sama dengan warga Malaysia dan perlu membayar pada harga lebih tinggi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg