KUALA LUMPUR: Enam Ahli Parlimen (AP) yang dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana menyokong Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, masih mewakili pembangkang di Parlimen, demikian kata putus Speaker Parlimen Malaysia, Tan Sri Johari Abdul.
Beliau berkata keputusan itu dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Mesyuarat.
“Setakat yang saya fikirkan, enam orang ini masih dikira pembangkang. Sebab tak ada satu pun ayat yang ditulis kepada saya, mereka ingin tinggalkan pembangkang untuk menyertai kerajaan.
“Untuk itu bagi saya mereka masih blok ini (pembangkang), sebab itu saya tak pindah pun mereka daripada blok pembangkang.
“Mereka masih ditakrifkan sebagai orang yang berhak untuk bertanya dalam blok ini, tidak adil untuk katakan mereka ini satu kumpulan yang berbeza.
“Selagi tidak ada hitam putih mereka mahu masuk kerajaan, saya ambil sikap mereka sebahagian pembangkang,” katanya di Parlimen pada 6 Ogos, lapor Malaysiakini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pencelahan AP Hulu Terengganu (Terengganu), Datuk Rosol Wahid, daripada Perikatan Nasional (PN), yang bertanya kepada Speaker mengenai status enam AP itu Parlimen.
Enam AP berkenaan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang-Perak); Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan-Sabah); Encik Zahari Kechik (Jeli-Kelantan); Encik Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang-Kelantan); Encik Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar-Perak); dan Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang-Selangor).
Sementara itu, Tan Sri Johari juga menolak pandangan AP Kota Bharu (Kelantan) dari PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, bahawa dalam konteks bertanya soalan, enam AP terbabit perlu dianggap sebagai blok kerajaan selepas menyokong Datuk Anwar.
“Tidak ada hitam putih mereka kata nak tinggalkan pembangkang. Berapa kali Kota Bharu sendiri menyokong kerajaan,” kata Tan Sri Johari.
Datuk Takiyuddin kemudian menjelaskan bahawa menyokong isu rakyat dan negara berbeza dengan menyokong kerajaan.
Tan Sri Johari bagaimanapun menegaskan bahawa enam AP itu akan tetap dianggap sebagai wakil rakyat pembangkang dan akan berada di blok pembangkang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg