Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia pendamai konflik Thai- Kemboja: Tingkat imej Asean

M’sia pernah bantu usaha damai di selatan Filipina, selatan Thailand 
Jul 30, 2025 | 3:15 PM
konflik Thai-Kemboja, Malaysia, Asean
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah), menjadi saksi perdamaian dua negara Asean selepas Mesyuarat Khas bersama Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet (kiri), dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Encik Phumtham Wechayachai (kanan), di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, pada 28 Julai. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

Dua negara anggota Asean – Kemboja dan Thailand – baru-baru ini terbabit dalam pertikaian berkaitan isu sempadan mereka sepanjang 817 kilometer.

Timbul kebuntuan untuk menghuraikan konflik dua negara berjiran itu walaupun setelah sebilangan negara Asean menggesa agar ditamatkan konflik berdarah yang telah mengorbankan lebih 30 nyawa.

Kemunculan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerajui usaha mewujudkan gencatan senjata, sekali gus membuktikan keupayaan Datuk Anwar sebagai tokoh diplomatik serantau dan berjaya menjadi orang tengah dalam menghasilkan rundingan damai antara Kemboja dengan Thailand.

Kepengerusian Malaysia dan Datuk Anwar dalam Asean juga amat membantu, dan dilihat sebagai orang tengah tidak berpihak.

Ketegangan Thailand-Kemboja bermula sejak 1970-an dan memuncak daripada serangan kecil kepada konfrontasi ketenteraan sehingga pertumpahan darah besar sejak Mei lalu.

Penyelesaian konflik dua negara itu termeterai dengan persetujuan gencatan senjata yang dicapai dalam mesyuarat khas antara Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet; dengan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Encik Phumtham Wechayachai, yang ‘ditemukan’ atas jemputan Datuk Anwar sebagai hos dan Pengerusi Asean. 

Pengamat politik antarabangsa di Malaysia menyifatkan rundingan berprofil tinggi di Putrajaya pada 28 Julai itu dilihat bukan sekadar pencapaian diplomatik, bahkan membuktikan peranan penting Malaysia dalam memastikan kestabilan rantau Asean yang semakin tercabar oleh krisis politik, ekonomi dan ancaman serta pengaruh kuasa besar dunia.

Pakar politik antarabangsa merangkap Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed.
Pakar politik antarabangsa merangkap Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed. - Foto ihsan AHMAD MARTHADA MOHAMED

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed, berkata Malaysia sekali lagi membuktikan kemampuannya sebagai negara yang dihormati dalam menyelesaikan konflik serantau.

Ini berdasarkan rekod cemerlang dalam menangani isu antara pemerintah Filipina dengan kumpulan pemberontak Moro, serta kerajaan Thailand dengan pemberontak Selatan Thailand sebelum ini.

“Malaysia telah lama diiktiraf sebagai pengantara berkesan. Keupayaan Malaysia bukan terhasil secara tiba-tiba, tetapi melalui pengalaman, prinsip berkecuali dan komitmen diplomatik yang konsisten,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Beliau menambah, walaupun ada naratif luar yang cuba menafikan sumbangan Malaysia dengan mengaitkan kejayaan rundingan damai itu kepada tekanan Amerika Syarikat dan China terhadap dua negara terbabit, rundingan sebenar hanya boleh berlaku atas keyakinan Thailand dan Kemboja terhadap Malaysia sebagai pihak tidak berkecuali dan adil.

“Kesediaan Encik Hun Manet dan Encik Phumtham ke sesi rundingan di Putrajaya menunjukkan komitmen kededua negara tersebut dan pengiktirafan kepada Datuk Anwar serta Malaysia sebagai Pengerusi Asean untuk menyelesaikan konflik yang jika tidak ditangani, boleh merebak dan memberi kesan terhadap kestabilan geopolitik di rantau Asean.

“Apa yang penting, Malaysia bertindak dalam kerangka Asean, yang menjunjung dasar tidak campur tangan dan diplomasi berasaskan rundingan.

“Pengaruh kuasa besar hanyalah faktor sampingan, bukan pemula kepada proses damai ini,” katanya.

Beliau yakin gencatan senjata antara dua negara tersebut mampu bertahan kerana keadaan politik dan ekonomi semasa di Thailand dan Kemboja tidak memungkinkan konflik terus berlarutan.

“Konflik ini sebenarnya telah berakar sejak 1970-an, berpunca daripada isu sempadan dan perebutan kuil purba. Tetapi ketegangan terbaru ini lebih serius, dicetuskan oleh ketidaktentuan politik domestik di kedua-dua negara,” ujarnya.

Dalam konteks Asean, Profesor Dr Ahmad Marthada, berkata kestabilan politik negara anggota dilihat penting demi memperkukuh kekuatan Asean sebagai blok ekonomi, apatah lagi ketika dunia berdepan ketidaktentuan akibat perang dan ketegangan kuasa besar.

“Maka, rundingan ini bukan saja signifikan daripada sudut dua hala, bahkan juga bagi kekuatan kolektif Asean.

“Kejayaan ini perlu dijadikan asas kepada penyatuan dalaman dan kerjasama ekonomi dan perdagangan serantau yang lebih baik,” ujarnya.

Beliau turut menyarankan agar Thailand dan Kemboja memberi tumpuan kepada penyelesaian politik domestik serta memanfaatkan rangka kerja perdagangan intra-Asean.

“Negara Asean yang berjaya dengan ekonomi kukuh seperti Singapura, Malaysia dan Indonesia akan melakukan yang terbaik untuk membantu negara anggota Asean lain yang lebih kecil agar sama-sama membangun daripada segi ekonominya.

“Apabila semua anggota Asean kuat dari segi ekonomi dan stabil dalam politik, kita dapat mengurangkan kebergantungan terhadap kuasa besar luar, sekali gus mengurangkan risiko konflik antara negara anggota sendiri,” katanya.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, Cik Shahidah Abdul Razak.
Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, Cik Shahidah Abdul Razak. - Foto ihsan SHAHIDAH ABDUL RAZAK

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Cik Shahidah Abdul Razak, pula menyifatkan penyelesaian konflik Thailand-Kemboja mengangkat imej Malaysia yang komited terhadap keamanan dan keadilan dalam isu sejagat.

“Peranan Malaysia dalam isu keamanan akan membuka mata dunia terhadap negara kuasa sederhana kecil seperti Malaysia yang mewakili negara kecil.

“Langkah ini memperkukuhkan naratif Malaysia sebagai ‘pendamai’ – bukan sekadar pengantara neutral tetapi sebagai rakan yang dipercayai dan memahami nuansa budaya serta sejarah serantau. 

“Keupayaan Malaysia memayungi dialog dalam suasana harmoni menunjukkan kematangan diplomasi dan kemampuan untuk tidak memihak. 

“Ini adalah kesinambungan kepada pendekatan konsensual yang Malaysia amalkan dalam Asean – satu pendekatan yang kini kembali dihargai dalam dunia multipolar yang tidak menentu,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Profesor Madya Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar.
Penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Profesor Madya Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar. - Foto ihsan TUNKU MOHAR MOHD MOKHTAR

Sementara itu, Penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Profesor Madya Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar, berkata rundingan damai yang dicapai Thailand-Kemboja di Putrajaya itu menarik, ketika Datuk Anwar berdepan tekanan dan gesaan pembangkang Malaysia untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Ini paradoks Anwar – ditolak sebahagian rakyatnya, tetapi menaikkan nama dan prestij Malaysia di persada antarabangsa pada masa yang sama,” ujar Tunku Mohar sambil menambah bahawa kegagalan yang disebut-sebut oleh pihak pembangkang sebenarnya lebih kepada persepsi politik dan naratif lapuk.

Beliau berkata walaupun kejayaan rundingan Thailand-Kemboja memberi isyarat positif, beliau mencadangkan Malaysia segera mengambil langkah susulan, antaranya menubuhkan kumpulan pemerhati serantau untuk memastikan semua perjanjian damai dihormati dan dilaksanakan secara konsisten.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg