Topik diikuti
Pergi ke BHkuPRN Johor: Calon parti Bersama akan dikenakan bon penalti RM2j jika langgar akujanji
PRN Johor: Calon parti Bersama akan dikenakan bon penalti RM2j jika langgar akujanji
PRN Johor: Calon parti Bersama akan dikenakan bon penalti RM2j jika langgar akujanji
KUALA LUMPUR: Semua 15 calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 perlu menandatangani enam akuan bersumpah dan akan dikenakan bon penalti RM2 juta ($630,000) sekiranya melanggar akujanji yang ditetapkan.
Menerusi kenyataan oleh pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, calon parti itu akan dikenakan bon penalti RM2 juta sekiranya melanggar akujanji untuk tidak lompat parti, tidak mengosongkan kerusi, hadir ke mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan perkara lain.
Langkah itu diumumkan Bersama dalam penyertaan pertamanya dalam pilihan raya, sejak kepimpinan parti itu diambil alih oleh Datuk Rafizi dan Nik Nazmi dan dilancarkan semula pada Mei lalu, selepas mereka meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut kenyataan itu, selain daripada perlu mengisytiharkan penyata harta, pendapatan dan perbelanjaan secara akuan bersumpah, 15 calon Bersama juga perlu menandatangani empat akujanji secara akuan bersumpah dan satu surat peletakan jawatan secara bersyarat.
Ia termasuk akujanji untuk meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila dipecat dan berhenti sebagai ahli Bersama.
Calon Bersama juga tertakluk kepada akujanji untuk memulangkan wang deposit yang dibayar kepada Bersama.
“Semua 15 calon Bersama telah bersetuju menandatangani set akuan bersumpah ini,” kata Datuk Rafizi di Facebook beliau.
Bersama akan mengumumkan 15 calon parti itu yang bertanding dalam PRN Johor pada 8 malam 26 Jun di Paragon Market Place, Kampung Baru Majidee, Johor Bahru.
Datuk Rafizi berkata, profil calon Bersama beserta penyata pengisytiharan harta akan dimuat naik ke laman web bersama.org dan boleh diakses oleh orang ramai bermula 10 malam 27 Jun.
“Saya jemput orang ramai terutamanya pengundi di 15 kerusi yang ditandingi Bersama untuk semak dan nilai latar belakang mereka sebelum mengundi,” katanya.
Sebelum ini, Datuk Rafizi berkata PRN Johor 2026 membuka ruang untuk memperkenalkan Bersama kepada pengundi, walaupun ketika itu, parti itu berusia kurang daripada sebulan sejak dilancarkan semula pada 17 Mei lalu.
Menurutnya, penyertaan parti itu dalam PRN Johor bagi membolehkan parti itu membina jentera pilihan raya dalam tempoh singkat serta menguji kecekapan dan mengenal pasti kelemahan jentera sebagai persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.
Datuk Rafizi dan Nik Nazmi sebelum ini mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing iaitu Pandan (Datuk Rafizi) dan Setiawangsa (Nik Nazmi) pada 18 Mei lalu dan meninggalkan PKR, sebelum menyertai Bersama secara rasmi pada 19 Mei.
Kedua-dua mantan pemimpin PKR itu yang meletakkan jawatan menteri pada Jun dan Julai 2025, mengumumkan hala tuju politik baru pada 17 Mei lalu, selepas mendakwa PKR sudah hilang hala tuju dan perjuangan reformasinya.
Parti Bersama ialah sebuah parti politik yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 di Georgetown, Pulau Pinang, oleh pengasasnya, Encik Tan Gin Theam.
