KUALA LUMPUR: Semua 19 parti di bawah Kerajaan Perpaduan sepakat bahawa Malaysia mesti terus menumpukan perhatian kepada soal pemerkasaan ekonomi dan pelaburan supaya kehidupan rakyat lebih makmur serta sejahtera.
Perkara itu dicapai pada Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan di Seri Perdana, Putrajaya, yang dipengerusikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Selasa malam.
Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata semua parti juga komited dan beriltizam untuk memastikan negara terus stabil untuk meraih kepercayaan tinggi pelabur luar untuk datang ke Malaysia, lapor Berita Harian Malaysia.
“Selain itu, Malaysia mesti terus mempertahankan identiti kemajmukan yang berteraskan negara bangsa yang progresif dan sederhana, bebas daripada sebarang anasir ekstremis yang mempolemikkan agama serta bangsa secara jumud yang memudaratkan,” katanya yang juga Setiausaha Agung Umno dalam satu hantaran Facebook pada Selasa.
Beliau juga menjelaskan mesyuarat itu tidak dihadiri oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kerana beliau menghadiri pertemuan khas dengan Duta-Duta 34 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai isu Palestin.
Datuk Asyraf Wajdi berkata dalam mesyuarat itu juga, Premier Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg, turut menekankan mengenai aspek kestabilan sebagai kunci utama bagi menjayakan pelbagai agenda pembangunan yang lebih diberikan keutamaan dan didambakan rakyat di Borneo.
“Sarawak, bahkan adalah contoh keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama, bebas daripada sebarang fahaman ekstremisme agama yang songsang,” katanya.
Selain itu, Datuk Asyraf Wajdi memaklumkan Sekretariat Kerajaan Perpaduan juga diberikan tanggungjawab untuk merencanakan program yang dapat memperkukuh lagi hubungan dan keserasian jitu seluruh warga parti Kerajaan Perpaduan hingga ke peringkat akar umbi.
“
“...Malaysia mesti terus mempertahankan identiti kemajmukan yang berteraskan negara bangsa yang progresif dan sederhana, bebas daripada sebarang anasir ekstremis yang mempolemikkan agama serta bangsa secara jumud yang memudaratkan.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg