Topik diikuti
Pergi ke BHkuParti politik M’sia sedia hadapi kemungkinan pilihan raya awal
Parti politik M’sia sedia hadapi kemungkinan pilihan raya awal
Umno, Bersatu, DAP lahir kesediaan hadapi kemungkinan pilihan raya kilat
Parti politik M’sia sedia hadapi kemungkinan pilihan raya awal
KUALA LUMPUR: Pimpinan tiga parti politik Malaysia iaitu Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP), masing-masing menyatakan kesediaan untuk menghadapi kemungkinan sekiranya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Razlan Rafii, berkata pihaknya sentiasa mengambil langkah proaktif memperkukuh jentera di semua peringkat dalam mendepani sebarang situasi perubahan landskap politik negara.
“Sebagai sebuah parti yang lama, kami sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan. Insya-Allah Umno akan terus bekerja seperti biasa untuk fokus kepada keperluan rakyat,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Sebelum ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membayangkan kemungkinan membubarkan Parlimen untuk mengadakan PRU16 lebih awal jika rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan terus bertindak menggugat kestabilan politik di negara ini.
Ia menyusuli pengumuman oleh Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Umno dan Barisan Nasional (BN) negeri itu, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang disifatkan sebagai mengejut, selepas memutuskan Johor akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata sekiranya pertempuran yang dipilih, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk mengadakan PRU lebih awal.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, mengakui jentera partinya sedia mengatur langkah dan mempercepat persiapan bagi mendepani PRU yang boleh diadakan bila-bila masa.
Tambahnya, usaha memperkukuh organisasi serta meningkatkan kesiapsiagaan di semua peringkat sedang giat dilaksanakan bagi memastikan parti berada pada tahap terbaik sekiranya berdepan pilihan raya mengejut.
“Bersatu sudah mula bergerak dalam mod pilihan raya. Selepas elemen toksik tiada, parti semakin kukuh dan teratur.
“Persiapan jentera sedang dilaksanakan dan perlu dipercepatkan lagi jika PRU dilaksanakan lebih awal,” katanya.
Tambah Tun Faisal, kemungkinan PRU diadakan lebih awal sudah dijangkakan ramai, berdasarkan prestasi kerajaan dalam menguruskan isu semasa termasuk krisis ekonomi, kos sara hidup dan kewangan negara.
Dalam pada itu, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Encik Syahredzan Johan, berkata partinya sudah menerima arahan daripada Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) dan membuat persiapan rapi bagi menghadapi pilihan raya akan datang termasuk di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Wakil rakyat DAP sudah mula bekerja sebaik sahaja kami dipilih, maka tidak timbul isu di lapangan. Namun apa pun, gendang sudah dipalu, maka kita harus memperkemaskan persiapan menuju PRU16,” katanya.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Khalid Abdul Samad, pula berkata pihaknya masih meneliti tahap keupayaan jentera parti dalam menghadapi situasi berkenaan.
“Datuk Anwar menyebut beliau akan berbincang dengan pimpinan parti-parti rakan dalam PH berhubung persoalan itu.
“Berdasarkan kenyataan itu, semua parti anggota PH telah meningkatkan lagi usaha persiapan bagi menghadapi pilihan raya.
“Dari segi tahap persediaan dan kemampuan menghadapi PRU lebih awal, ia masih perlu dilihat,” katanya.
