Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PAS, Bersatu nafi dakwaan berlaku perebutan pengaruh, kedudukan di Johor

Oct 31, 2025 | 12:31 PM
PAS, Bersatu, Amanah
Ketua Angkatan Muda (Armada) Bersatu Johor, Encik Alias Rasman (kiri) dan Ketua Pemuda Parti Islam SeMalaysia (PAS) Johor, Encik Ridhwan Salamun. - Foto PAS JOHOR

JOHOR BAHRU: Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menafikan dakwaan Parti Amanah Negara (Amanah) Johor kononnya berlaku perebutan pengaruh dan kedudukan antara kedua-dua parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Encik Khairul Faizi Ahmad Kamil, berkata Amanah sepatutnya menyelesaikan dahulu ketegangan dalaman dengan rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), khususnya dengan Umno, sebelum menuding jari kepada pihak lain.

“Hubungan retak menanti belah antara Umno dengan Amanah di Johor sudah menjadi pengetahuan umum.

“PH masih gagal menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri dan kekal sebagai pembangkang.

“Malah, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota 2024, Amanah beria-ia mahu bertanding, namun akhirnya terpaksa akur apabila kerusi itu diberikan kepada Umno,” katanya dalam satu kenyataan pada 30 Oktober.

Beliau berkata kenyataan pemimpin Amanah yang mendakwa PAS dan Bersatu berebut pengaruh di Johor hanyalah cubaan mengalih perhatian daripada masalah dalaman sendiri.

“PAS dan Bersatu di Johor terus bekerjasama erat.

“Amanah pula masih bergelut mencari kata sepakat dengan Umno dalam pembahagian kerusi menjelang pilihan raya akan datang,” katanya.

Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, ketika dihubungi Berita Harian (BH) menolak dakwaan Amanah dan menegaskan hubungan antara Bersatu dengan PAS di negeri itu “berjalan sangat baik dan semakin kukuh”.

“Banyak program bersama telah kami jalankan. Alhamdulillah hubungan kami dengan PAS semakin baik,” katanya.

Datuk Dr Sahruddin turut menyindir Amanah dengan mempersoalkan kedudukan gabungan PH dan BN di Johor yang dilihat masih samar.

“Apa kesudahan hubungan PH dan BN di Johor ini? Kami melihat PH adalah pembangkang di negeri Johor. Sudah bersediakah Amanah untuk menghadapi pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya negeri nanti?” katanya.

Beliau turut menuduh Amanah masih sibuk menuntut kerusi yang ingin ditandingi dan memujuk BN agar bekerjasama, sambil menegur parti itu supaya tidak terus berpolitik sepanjang masa.

“Janganlah kita bersikap seperti peribahasa ‘kuman di seberang lautan nampak, gajah di depan mata tak nampak’,” katanya.

Dalam kenyataan bersama pada 30 Oktober, Dewan Pemuda PAS Johor dan Ketua Angkatan Muda (Armada) Bersatu Johor turut menolak dakwaan Amanah dan menegaskan bahawa hubungan kedua-dua sayap pemuda parti itu kekal kukuh serta berasaskan semangat muafakat.

“Dakwaan Amanah hanyalah usaha terdesak untuk menggugat kesepaduan PN yang semakin mendapat kepercayaan rakyat Johor.

“Amanah Johor jangan cari nyawa politik atas fitnah,” kata Ketua Pemuda PAS Johor, Encik Ridhwan Salamun, dan Ketua Armada Bersatu Johor, Encik Alias Rasman, dalam kenyataan bersama.

Kenyataan balas PAS dan Bersatu itu dikeluarkan susulan kenyataan Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr Zuhan Zain, pada 29 Oktober yang mendakwa Bersatu kini hilang hala tuju serta berpecah kepada beberapa kem kepimpinan, manakala hubungan antara PAS dengan Bersatu semakin longgar di beberapa negeri termasuk Johor.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg