Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PAS ikrar tutup kasino Genting jika dapat kuasai Pahang

Sep 16, 2024 | 10:45 AM
Genting Highlands
Genting Highlands - Foto fail

KUALA LUMPUR: Parti Islam SeMalaysia (PAS) berkata ia bersedia menutup satu-satunya kasino di Malaysia jika ia menguasai Pahang – negeri di mana terletaknya kasino Genting – sedang parti itu berusaha meluaskan pengaruhnya di negara itu.

Seorang pegawai kanan parti itu menyatakan jika pengundi di Pahang mahu perjudian ditamatkan, mereka harus memilih parti tersebut. Parti itu bercadang memanfaatkan keprihatinan majoriti Muslim di Malaysia mengenai perjudian yang dilarang dalam Islam.

PAS telah meluaskan pengaruhnya sejak pilihan raya umum (PRU) 2022, menjadikannya parti terbesar di Parlimen persekutuan. Ia sudah menguasai empat daripada 13 negeri di Malaysia, dan sedang berusaha menawan Pahang dalam PRU akan datang yang mesti diadakan menjelang awal 2028.

“Perjudian memudaratkan, jadi kita perlu menutupnya,” kata Encik Andansura Rabu, timbalan pesuruhjaya PAS bagi Pahang, pada perhimpunan tahunan parti itu.

“Tetapi ia mesti mengikut undang-undang dan Perlembagaan. Di Genting Highlands, kuasa mungkin bukan milik kita sepenuhnya. Ia mungkin memerlukan keputusan kerajaan persekutuan, jadi kami mungkin tidak dapat menutupnya.”

Kerajaan persekutuan memutuskan permit bagi kasino dan perjudian di Malaysia, dan perjudian adalah salah satu sektor yang paling dikawal selia di negara itu. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal 2024 menolak kemungkinan membuka resort kasino kedua.

Kasino Genting menyumbang sebanyak RM5 bilion ($1.5 bilion) setiap tahun kepada pendapatan kerajaan sebelum wabak, menurut satu laporan oleh UOB Kay Hian.

Apabila PAS muncul sebagai parti terbesar selepas PRU 2022, saham Genting merosot tetapi pulih apabila Datuk Anwar membentuk kerajaan perpaduan yang terdiri daripada partinya, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan kumpulan parti dari Sabah dan Sarawak.

Pada perhimpunan tahunan PAS yang diadakan hujung minggu lalu di Pahang, parti itu telah menolak bekerjasama dengan gabungan parti diterajui Datuk Anwar dan berjanji untuk memperjuangkan isu Islam. Mengharamkan arak dan perjudian di Malaysia akan menjadi kuncinya, kata parti itu.

“Apa sahaja yang boleh membahayakan masyarakat, kita mesti bersama-sama menyokong pembasmiannya,” kata Encik Andasura mengenai perjudian. “Ini bukan soal agama, ini isu sosial.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg