JOHOR BAHRU: Parti Islam SeMalaysia (PAS) Johor menyasarkan penambahan 5,000 ahli baru menerusi Kempen PAS Pilihanku-JDT yang akan dilaksanakan selama enam bulan, dari Oktober 2026 hingga Mac 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Kempen PAS Pilihanku-JDT, Encik Khairul Faizi Ahmad Kamil, berkata kempen itu akan dilaksanakan di seluruh negeri itu dengan penglibatan jentera parti pada peringkat Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kawasan.

“Kempen PAS Pilihanku-JDT bukan sekadar usaha menambah jumlah keahlian, tetapi bertujuan memperluas ruang penglibatan masyarakat dalam gerak kerja dan kegiatan PAS di Johor,” katanya dalam kenyataan pada 22 September.

Kempen berkenaan dilancarkan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pada 22 Ogos lalu sempena Majlis Perasmian Konvensyen PAS Negeri Johor di Dewan Muafakat, Ayer Hitam.

Encik Khairul Faizi, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, berkata sebuah jawatankuasa khas telah diwujudkan bagi memastikan kempen itu dilaksanakan secara tersusun dan menyeluruh.

Jawatankuasa itu melibatkan pelbagai agensi dan entiti dalam PAS, termasuk Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), yang menjadi wadah bagi Ahli Bersekutu parti.

“Pelbagai kegiatan dan gerak kerja telah dirancang sepanjang tempoh kempen dengan pendekatan yang terbuka dan mesra masyarakat,” katanya.

Antara kegiatan yang dirancang ialah Karnival PAS Pilihanku-JDT yang dijangka bermula pada November, pembukaan reruai keahlian di pelbagai lokasi dan program serta Kempen Keluargaku Ahli PAS.

PAS Johor juga akan mengadakan program penerangan dan pendekatan masyarakat, kegiatan pendaftaran keahlian pada peringkat Parlimen, DUN dan kawasan, serta program kemasyarakatan sepanjang tempoh kempen tersebut.

Encik Khairul Faizi berkata kempen itu terbuka kepada seluruh rakyat Johor yang berminat mengenali dan menyertai PAS tanpa mengira bangsa atau agama.

Bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat dan mendaftar sebagai ahli, talian khas PAS Pilihanku-JDT Johor diwujudkan menerusi nombor +6017-226 5960.

Talian kempen turut disediakan di kesemua 26 kawasan Parlimen di Johor bagi membolehkan masyarakat berhubung terus dengan petugas di kawasan masing-masing.

“PAS Johor menyeru seluruh jentera parti pada semua peringkat supaya memberikan komitmen sepenuhnya bagi menjayakan sasaran 5,000 ahli baru dalam tempoh enam bulan,” katanya.