Topik diikuti
Pergi ke BHkuHadi beri keterangan pada polis selepas dakwa Amerika mahu bantu guling kerajaan BN
Hadi beri keterangan pada polis selepas dakwa Amerika mahu bantu guling kerajaan BN
KOTA BHARU: Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang, sudah memberi keterangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan mengenai dakwaan tawaran kerjasama Amerika Syarikat, untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2014.
Setiausaha Politik Presiden PAS, Encik Mohd Syahir Che Sulaiman, berkata keterangan itu dibuat beberapa hari lalu.
“Tan Sri Tuan Guru (Abdul Hadi) sudah beri keterangan kepada pihak polis beberapa hari lalu di Kuala Lumpur.
“Difahamkan perkara berkenaan masih dalam proses siasatan, beberapa saksi turut dipanggil.
“Selanjutnya Tuan Guru serahkan kepada pihak polis dan tidak mahu mengulas lanjut bagi menghormati proses siasatan,” katanya, lapor Harian Metro.
Media Malaysia sebelum ini melaporkan Tan Sri Abdul Hadi mendakwa beberapa pemimpin PAS pernah dijemput mengadakan pertemuan dengan Kedutaan Amerika, ketika Presiden Barack Obama melawat Malaysia pada 2014.
Dakwaan itu dibuat beliau ketika berucap pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS ke-72 di Kota Bharu, Kelantan, pada 5 September lalu, dengan pihak asing didakwa menawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan ketika itu.
Bagaimanapun, Kedutaan Amerika kemudian menafikan dakwaan Tan Sri Abdul Hadi, yang mendakwa wakil negara itu pernah menawarkan bantuan kepada PAS untuk menjatuhkan kerajaan BN.
Encik David H Gamble Jr, yang kini mengetuai Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur, menyatakan negaranya tidak pernah mencuba untuk menentukan kepimpinan politik Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, dilaporkan berkata sebanyak 12 keterangan diambil setakat ini berhubung dakwaan berkenaan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Encik Shahir berkata isu agihan kerusi yang menjadi cabaran besar kepada agenda kerjasama Umno dengan PAS, terutama dalam menghadapi siri pilihan raya, boleh diselesaikan menerusi formula ‘muafakat’.
Beliau berkata formula itu sudah terbukti berjaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang menyaksikan kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) ditewaskan.
Beliau berkata Barisan Nasional (BN) perlu mengelak bertembung dengan Perikatan Nasional (PN) di kerusi penyandang, manakala kerusi disandang PH dirunding untuk misi ditawan.

