Topik diikuti
Pergi ke BHkuPRN Melaka: Presiden PAS sahkan perbincangan tak rasmi PN-BN sudah bermula
AYER KEROH: Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengesahkan bahawa perbincangan tidak rasmi antara pemimpin Perikatan Nasional (PN) dengan Barisan Nasional (BN) sudah dimulakan sejak tiga hari lalu, bagi membentuk persefahaman menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata perbincangan membabitkan beberapa pemimpin parti itu akan diteruskan sehingga kata putus dicapai berhubung bentuk kerjasama yang bakal dijalin kedua-dua gabungan politik itu.
“Perbincangan dengan BN sudah dimulakan dan kita sudah melantik urus setia untuk meneruskan perbincangan ini.
“Pilihan raya kita belum tahu bila, tetapi kita sudah (mula) berbincang untuk kerjasama,” katanya selepas menghadiri Majlis Makan Malam Amal PAS Melaka di Ayer Keroh, Melaka, pada malam 23 Ogos, lapor Berita Harian Malaysia.
Yang turut hadir, Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu merangkap Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar, dan Pesuruhjaya PAS Melaka, Encik Zulkifli Ismail.
Mengulas perkembangan rundingan itu, Tan Sri Abdul Hadi berkata ia berjalan secara positif dengan pihaknya mengambil semangat daripada perkembangan kerjasama politik yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, beliau berkata masih terlalu awal untuk menentukan sejauh mana bentuk atau tahap kerjasama antara PN dengan BN yang boleh dicapai di Melaka.
“Itu masih peringkat awal... namun di peringkat awal ini pun sudah menandakan prestasi yang sangat baik,” katanya.
Ditanya mengenai strategi PAS di Melaka menyusuli kenyataan bahawa parti itu berperanan sebagai “penjaga gol” di Johor dan penyerang di Negeri Sembilan, Tan Sri Abdul Hadi berseloroh bahawa “perlawanan” politik di Melaka masih belum bermula.
“Wisel permainan belum ditiupkan,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mengesahkan terdapat perbincangan awal dan umum berhubung kerjasama gabungan parti itu dengan BN bagi berdepan PRN Melaka.
PN juga dikatakan sedang merangka kerjasama berkenaan dan akan dimuktamadkan.
Sementara itu Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, Encik Adam Adli Abdul Halim, menyifatkan pendirian peribadi Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang memilih kerjasama BN dengan PN berbanding Pakatan Harapan (PH), bukan “keputusan muktamad” sehingga menutup rapat pintu rundingan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu menegaskan bahawa pertemuan dengan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, sudah pun berlangsung sebelum ini, namun ia hanya menyentuh isu membabitkan hala tuju serta kesan domino di peringkat negeri dan pusat selepas PH Melaka menarik sokongan terhadap kerajaan negeri itu.
Beliau berkata rundingan rasmi membabitkan pimpinan PH dengan BN mengenai kerjasama pada PRN Melaka akan menyusul selepas ini, namun tidak mendedahkan bila ia akan berlangsung.

