Pemimpin Parti Islam SeMalaysia (PAS) memberi bayangan Perikatan Nasional (PN) akan terus menguasai gabungan pembangkang itu, walaupun telah memutuskan kerjasama politik dengan rakan pengasas dan pakatan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Penerangan PN yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa, berkata kedudukan gabungan pembangkang itu akan ditentukan ahli PN, iaitu rakan komponen lain termasuk Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP). 

Beliau berkata, tiada satu parti dalam PN boleh membuat keputusan seorang diri mengenai kedudukan PN.

“Keputusan PAS memutuskan kerjasama dengan Bersatu hanya melibatkan dua parti itu dan sama sekali tidak melibatkan PN.

“Perbincangan PAS dengan Gerakan dan MIPP akan dilakukan minggu ini juga. PAS komited kepada politik kerjasama pelbagai kaum serta politik matang dan sejahtera dan menghargai sikap positif Gerakan dan MIPP dalam konteks PNS.

“PAS akan pastikan tindakan seterusnya dalam PN wajib berdasarkan Perlembagaan PN dan bukan atas sikap superiority (merasakan diri lebih dominan) individu atau mana mana parti. Musyawarah PAS-Gerakan-MIPP sudah diatur dan disegerakan, insya- Allah,” katanya dalam hantaran di Facebook pada 10 Jun.

Pada 9 Jun, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meluahkan rasa dukacita terhadap keputusan PAS menamatkan kerjasama politik mereka.

Beliau menegaskan bahawa Bersatu, sebagai parti pengasas, akan tetap setia bersama Perikatan Nasional (PN) demi memperkukuh perjuangan gabungan itu.

Beliau turut menzahirkan kekecewaan terhadap langkah PAS yang dilihat menjejaskan persefahaman sekian lama terbina.

“Bersatu akan memperkasa agenda prihatin rakyat yang dibawa PN sejak penubuhannya serta mendokong hasrat rakyat yang mahukan perubahan serta kepimpinan yang mewakili aspirasi seluruh warga Malaysia,” katanya.

PAS pada 8 Jun menamatkan kerjasama politik yang dijalin dengan Bersatu sejak 2020, susulan beberapa tindakan Bersatu yang disifatkan mengkhianati semangat setiakawan dalam PN.

Konflik bermula di Perlis apabila jawatan Menteri Besar beralih daripada PAS kepada Bersatu tanpa rundingan.

Ketegangan memuncak akibat keengganan Bersatu menerima parti Melayu-Islam baru ke dalam PN, serta kelemahan jentera mereka yang terlalu bergantung pada sokongan PAS.

Dalam pada itu, Tan Sri Annuar Musa memberi bayangan potensi penghijrahan besar-besaran dalam kalangan ahli Bersatu.

Menurut beliau, PAS cakna bahawa ramai ahli Bersatu masih mahu bekerjasama.

Justeru, jawatan individu dalam kerajaan pimpinan PAS kekal selamat, selagi mereka terus menyokong dan setia bekerjasama dengan PAS.