Topik diikuti
Pergi ke BHkuPAS Johor sah tidak bertanding solo, rintis kerjasama baharu
PAS Johor sah tidak bertanding solo, rintis kerjasama baharu
Susulan tamat hubungan dengan Bersatu, parti itu kini runding persefahaman pilihan raya dengan beberapa pihak lain.
PAS Johor sah tidak bertanding solo, rintis kerjasama baharu
Parti Islam SeMalaysia (PAS) Johor mengesahkan parti itu tidak akan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Sebaliknya, parti itu sedang merintis jajaran politik baharu menerusi kerjasama pilihan raya dengan beberapa parti lain susulan keputusan menamatkan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, berkata parti itu akur dengan keputusan kepimpinan pusat yang memutuskan hubungan dengan Bersatu dan kini memberi tumpuan kepada pembentukan kerjasama baharu berasaskan persefahaman pilihan raya atau ‘electoral pact’.
Beliau berkata PAS Johor menyokong sepenuhnya keputusan yang dibuat oleh PAS Pusat dan sedang mengadakan rundingan dengan beberapa parti politik yang mempunyai matlamat serta perjuangan yang sehaluan.
“Apabila hubungan dengan Bersatu ditamatkan, PAS tidak akan bertanding secara solo. Ini adalah hala tuju baharu dan jajaran politik baharu yang sedang dirundingkan dengan mana-mana parti yang bersedia bekerjasama atas dasar persefahaman pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat PAS Johor di Ibu Pejabat PAS Johor di Johor Bahru pada 9 Jun.
Menurut beliau, antara parti yang sedang disebut dalam rundingan berkenaan ialah Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Berjasa Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).
Datuk Dr Mahfodz berkata kerjasama yang dirancang tidak semestinya membabitkan penggunaan satu logo bersama memandangkan masa yang semakin singkat menjelang pilihan raya.
“Buat masa ini, kemungkinan besar setiap parti akan menggunakan logo masing-masing.
“Dari sudut praktikal, memang sukar untuk membentuk gabungan rasmi dalam tempoh yang singkat, jadi pendekatan persefahaman pilihan raya lebih sesuai,” katanya.
Beliau bagaimanapun menjelaskan rundingan berkaitan pembahagian kerusi masih berlangsung di peringkat pusat dan belum dimuktamadkan.
Menurutnya, PAS Johor sebelum ini telah mengenal pasti kira-kira 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi ketika masih berada dalam kerjasama bersama Perikatan Nasional (PN), namun, kedudukan itu kini mungkin berubah mengikut jajaran politik baharu.
“Dulu kita memang sudah ada kerusi-kerusi yang dikenal pasti untuk ditandingi. Kita juga telah bergerak dan membuat persiapan. Tetapi dengan jajaran baharu ini, semuanya perlu dirunding semula,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang bentuk kerjasama yang bakal diwujudkan hanya melibatkan persefahaman pilihan raya dan bukannya pembentukan gabungan rasmi dalam masa terdekat.
Datuk Dr Mahfodz turut mendedahkan beliau telah menghubungi beberapa pemimpin Bersatu Johor selepas keputusan pemisahan itu diumumkan bagi memastikan hubungan silaturahim antara kedua-dua parti terus terpelihara.
“Perpisahan ini hanya melibatkan soal politik. Persahabatan tetap diteruskan dan saya telah mengarahkan pimpinan PAS di kawasan supaya terus mengekalkan hubungan baik dengan rakan-rakan dalam Bersatu,” katanya.
