PARIT BUNTAR (Perak): Setiap kali Timbalan Pesuruhjaya Parti Islam SeMalaysia (PAS), Encik Misbahul Munir Masduki, berada di kawasan undinya, beliau akan mengadakan perjumpaan yang dihadiri lebih 20 anggota dan penyokong lelaki parti itu.

Perjumpaan yang dikenali sebagai ‘usrah’ ini merupakan sebahagian daripada pendekatan politik akar umbi PAS, yang menggabungkan perbincangan agama, hubungan kemasyarakatan dan perbualan mengenai isu semasa.

“Sekurang-kurangnya sebulan sekali, saya akan bertemu dengan mereka di kampung yang sama tetapi di rumah berbeza untuk membincangkan topik agama dan menjawab soalan mengenai isu semasa,” kata Ahli Parlimen Parit Buntar, Encik Misbahul, kepada The Straits Times (ST) pada 23 Ogos.

Parit Buntar yang terletak di utara Perak, merupakan sebuah pekan kecil yang terletak berdekatan sempadan Pulau Pinang.

Gerakan akar umbi sebegini – yang menggabungkan pendekatan keagamaan dengan penglibatan masyarakat – merupakan ciri utama aktivisme politik PAS di Perak dan telah diperluaskan ke serata negara. 

Menerusi pendekatan ini selama beberapa dekad, parti Islam pembangkang itu berjaya membina pangkalan sokongan yang kukuh dan berkekalan dalam kalangan pengundi Melayu/Islam.

Sejarah PAS di Perak bermula sejak pilihan raya umum (PRU) pertama Malaya pada 1955 apabila parti berkenaan – yang ketika itu dikenali sebagai Parti Islam SeMalaya (PMIP) – memenangi satu-satunya kerusi Parlimen di Krian.

Kawasan berkenaan kemudian dinamakan semula sebagai Parit Buntar susulan perubahan pada sempadan kawasan undi.

DARIPADA GERAKAN AKAR UMBI KEPADA KUASA POLITIK

PAS telah menghabiskan masa selama dua dekad dalam membina rangkaian akar umbi yang kukuh di Perak.

Hasilnya, mereka berjaya mengatasi Umno sebagai parti politik Melayu paling berpengaruh di negeri itu pada PRU 2022.

Kini, kerjasama lebih erat antara PAS dengan Umno boleh mengukuhkan lagi usaha PAS untuk menguasai pentadbiran negeri pada PRU akan datang, yang dijangka diadakan lewat-lewatnya menjelang Februari 2028.

PAS merupakan sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN), manakala Umno ialah sebahagian daripada Barisan Nasional (BN).

Kemenangan di Perak akan membolehkan PAS meluaskan pengaruhnya menjangkau empat negeri di bawah kepimpinannya buat masa ini – iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Namun, rundingan kerusi, tentangan daripada gabungan pemerintah Pakatan Harapan (PH), serta kemunculan Parti Wawasan Negara (Wawasan) boleh mempengaruhi percaturan pilihan raya tersebut.

Wawasan merupakan parti baharu yang sebahagian besarnya dibentuk oleh mantan pemimpin Bersatu.

Acara keagamaan itu hanyalah sebahagian daripada pendekatan akar umbi PAS.

Encik Misbahul, yang turut dikenali sebagai Ustaz Misbahul, dan pasukannya turut menganjurkan pelbagai aktiviti bagi mengeratkan hubungan dengan penduduk tempatan, termasuk acara berjalan laju sejauh 5 kilometer sempena Hari Kemerdekaan.

Menerusi dana yang disumbangkan oleh anggota dan penyokong parti, mereka turut mengagihkan barangan keperluan asas kepada penduduk memerlukan.

Encik Misbahul antara lain turut mengadakan pertemuan dengan petani sawah padi untuk membincangkan isu kenaikan harga racun perosak serangga serta kelewatan subsidi kerajaan, sambil berjanji akan membangkitkan kebimbangan mereka di Parlimen.

Penganalisis politik, Encik Kamles Kumar, berkata PAS Perak boleh memanfaatkan rangkaian pendidikan Islam serta gerakan akar umbi luar bandarnya yang kukuh untuk memberi kelebihan kepada BN.

“Dengan peningkatan fahaman konservatif serta pangkalan sokongan luar bandar PAS yang semakin meningkat di Perak, mesej daripada Parti Amanah Negara (Amanah) mungkin tidak diendahkan,” kata Encik Kamles, ketua Asia Group Advisors bagi cawangan Malaysia, kepada ST.

Amanah merupakan parti komponen PH yang ditugaskan untuk menyekat pengaruh PAS.

“Pendekatan Amanah yang kurang berkarisma serta lebih progresif mengehadkan keupayaannya untuk menarik minat pengundi yang sememangnya meragui PH,” tambahnya.

PAS berjaya meraih hampir 40 peratus undi di Parit Buntar dalam setiap PRU sejak pertama kali bertanding di sana, kecuali pada 2018.

Pada PRU 2022, PAS muncul sebagai parti politik Melayu paling berpengaruh di Perak apabila memenangi empat daripada 24 kerusi Parlimen dan 17 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Manakala, pegangan Umno merosot kepada hanya dua kerusi Parlimen dan lapan kerusi DUN.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menang tipis di kawasan Bagan Datuk di selatan Perak dengan kelebihan hanya 300 undi.

Menerusi sokongan daripada PH, Umno akhirnya membentuk kerajaan negeri Perak dan menyertai Kerajaan Persekutuan.

MUSUH LAMA, PERCATURAN BAHARU

Landskap politik Malaysia menyaksikan perubahan pada 2026 apabila BN dan PN mula bergerak ke arah kerjasama lebih erat di Negeri Sembilan, meskipun bertanding secara berasingan di Johor.

PAS sedang mengadakan mesyuarat agung tahunannya, atau muktamar, dari 2 hingga 5 September di Kota Bharu, Kelantan.

Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan baru-baru ini memberi dorongan bagi kerjasama lebih erat antara PAS dengan Umno di kawasan majoriti Melayu seperti Perak, meskipun dinamik politik dalam gabungan pembangkang PN kekal tidak menentu.

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga Naib Presiden PAS, berkata peluang PN untuk memenangi Perak boleh meningkat sehingga 75 peratus sekiranya mereka bekerjasama dengan BN, berdasarkan analisis yang dijalankan oleh PN.

Namun, beliau memberi amaran bahawa rundingan kerusi boleh menjadi penghalang utama kepada kerjasama mereka.

“Dengan peluang kemenangan setinggi itu, saya percaya BN akan cuba menuntut kerusi daripada kita... Jika pemimpin akar umbi menerima undangan untuk bertemu dengan mereka, maklumkan kepada kepimpinan parti. 

“Jangan pergi berseorangan... jangan janji atau beri harapan bahawa mereka boleh bertanding di mana-mana kerusi,” kata Dr Samsuri kepada ratusan perwakilan di konvensyen PAS Perak pada 9 Ogos.

Sambil menyambut baik naratif perpaduan Melayu/Islam, Timbalan Ketua Umno Bahagian Parit Buntar, Datuk Mua’ammar Ghadafi Jamal, berkata pihak kepimpinan perlu lebih berwaspada dalam memilih rakan kongsi bagi membentuk kerajaan.

“Keikhlasan adalah kunci,” ujarnya.