Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PAS pilih status quo elak kegoncangan kepimpinan

Pengamat: Perkembangan petanda isyarat PAS sedang persiapkan untuk PRU16
Sep 7, 2025 | 5:30 AM
Tan Sri Abdul Hadi Awang
Tan Sri Abdul Hadi Awang (tengah) kembali diberi mandat oleh ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS) untuk kekal menerajui parti itu bagi tempoh 2025-2027. - Foto BERNAMA

Muktamar tahunan Parti Islam SeMalaysia (PAS) 2025 hanya akan berlangsung bermula 11 hingga 16 September nanti, namun keputusan pemilihan pucuk pimpinan parti bagi sesi 2025-2027 sudah diselesaikan lebih awal.

Pada 4 September, Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat (JKPP) mengumumkan bahawa jawatan utama dalam parti itu mengekalkan status quo, tiada pertandingan dan dimenangi tanpa pencabar.

Walaupun faktor usia dan kesihatan kini menjadi cabaran, Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen (AP) Marang (Terengganu), Tan Sri Abdul Hadi Awang, 78 tahun, terus diberi kepercayaan ahli untuk mengekalkan jawatan dipegangnya sejak 23 tahun lalu.

Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, 65 tahun, yang juga AP Kubang Kerian (Kelantan), turut mengekalkan jawatan sama sejak 2015.

Tiga jawatan Naib Presiden turut menyaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah; dan AP Bagan Serai (Perak), Datuk Idris Ahmad, kekal dan memenangi jawatan tanpa bertanding.

Begitu juga jawatan Ketua Dewan Ulama PAS yang kekal ditunjangi AP Pokok Sena yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ahmad Yahaya; AP Alor Setar (Kedah), Encik Afnan Hamimi Taib Azamudden sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS; dan mantan Senator Dewan Negara, Cik Nuridah Salleh, sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS.

Pengerusi JKPP Pusat, Wan Rohimi Wan Daud, berkata hanya pemilihan bagi Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat akan berlangsung pada muktamar ke-71 di Kedah nanti.

Sebagaimana diperkatakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, sebelum ini, dalam sejarah tradisi PAS jawatan utama dalam parti itu biasanya akan disandang oleh individu berkenaan sehingga mereka meninggal dunia.

Namun, melihat kepada perkembangan ini, apa sebenarnya makna di sebalik ketiadaan pertandingan dalam pemilihan kali ini?

Adakah ia lambang kesepaduan dan kestabilan atau tanda budaya politik dalaman yang mengekang keterbukaan demokrasi? 

Dua penganalisis politik Malaysia yang dihubungi Berita Minggu (BM) bersetuju bahawa keputusan mengekalkan kepimpinan parti tanpa pertandingan adalah isyarat PAS sedang mempersiapkan diri untuk Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), malah untuk pilihan raya negeri Sabah yang paling hampir dan dijangka sebelum akhir 2025 ini.

Pakar Geostrategis merangkap Zamil Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Azmi Hasan, menegaskan, ia adalah satu strategi jelas. 

“Mereka tidak perlukan percaturan dalaman melalui pertandingan untuk hadapi PRU16,” katanya kepada BM. 

Pakar Geostrategis, Profesor Dr Azmi Hasan.
Pakar Geostrategis, Profesor Dr Azmi Hasan. - Foto fail

“Malah, tokoh-tokoh berpengaruh seperti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang dilihat sebagai pelapis, memilih untuk tidak bertanding jawatan Naib Presiden kerana menyedari kepimpinan sekarang tidak wajar digoncang,” jelasnya.

Pandangan itu senada dengan penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, yang melihat situasi ini sebagai mesej kestabilan dalam PAS. 

“Ia bukan soal PAS tiada pelapis, sebaliknya budaya dalam parti yang melihat jawatan sebagai amanah dan tanggungjawab, bukan keistimewaan,” katanya.

Malah, Dr Muhammad Fathi turut mengingatkan pengalaman pahit PAS pada 2015 yang menyaksikan perpecahan dalaman ketika pemilihan parti, sehingga lahirnya Parti Amanah Negara (Amanah) selepas beberapa pemimpinnya memilih untuk meninggalkan PAS. 

Katanya, itu menjadi pengajaran bahawa perpecahan akibat perebutan jawatan hanya melemahkan parti.

Dr Muhammad Fathi juga menekankan bahawa keputusan tiada pertandingan dalam pemilihan PAS bagi 2025-2027 itu datang daripada akar ahli dan umbi sendiri. 

Penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof.
Penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof. - Foto ASTRO AWANI.

“Walaupun ada pencalonan untuk jawatan tertentu, banyak yang menarik diri, menunjukkan keyakinan bahawa kepimpinan sedia ada masih memenuhi kehendak ahli. Ia adalah petanda bahawa ahli mengutamakan kesepaduan berbanding pertembungan,” ujarnya kepada BM.

Satu lagi titik perbezaan yang ketara ialah pada persoalan hala tuju politik PAS.

Bagi Profesor Dr Azmi, kekuatan PAS hari ini datang daripada dominasi pengundi Melayu-Islam. 

“PAS parti yang paling banyak mempunyai wakil rakyat Melayu di Dewan Rakyat (Parlimen). Tetapi gabungan Perikatan Nasional (PN) setakat ini hanya berjaya menarik pengundi Melayu. Itu tidak cukup untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan sebagaimana dihasratkan,” jelasnya.

Beliau melihat biarpun PAS cuba mendekati bukan Melayu melalui sayap Dewan Himpunan Pendukung PAS serta kerjasama dengan parti Gerakan, usaha itu masih gagal. 

Malah katanya imej ‘ekstrem agama’ terus menjadi hambatan besar yang menyukarkan parti itu menembusi sokongan bukan Melayu.

Dr Muhammad Fathi pula tidak menafikan sokongan bukan Melayu terhadap PAS masih rendah, tetapi percaya PAS berpotensi menukar persepsi itu jika berjaya membina imej lebih inklusif. 

“PAS perlu menangkis tohmahan ekstrem agama dan menunjukkan kemampuan berkomunikasi dengan masyarakat pelbagai kaum. Itu cabaran sebenar sebelum cita-cita membentuk kerajaan selepas PRU16 nanti,” katanya. 

Kedua-dua penganalisis juga sependapat tentang satu perkara, yang mana naratif agama kini menjadi tarikan besar dalam politik Malaysia dan PAS jelas mendapat manfaat daripadanya.

Profesor Dr Azmi menekankan populariti PAS dalam kalangan Melayu adalah kerana mereka dilihat parti yang mampu mempertahankan Islam, namun beliau turut mengingatkan bahawa naratif agama juga punca curiga bukan Melayu terhadap parti itu.

Bagi Dr Muhammad Fathi pula, beliau mengaitkan fenomena sokongan Melayu meningkat terhadap PAS dengan kesedaran agama yang semakin kuat. 

“Orang Islam di Malaysia melihat Islam bukan sekadar ritual, tetapi sistem hidup. Itulah yang mendorong sokongan kepada politik berasaskan agama,” terangnya. 

Malah menurutnya, bukan PAS saja tetapi parti lain seperti Umno dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga semakin menonjolkan elemen keagamaan dalam politik mereka.

Akhirnya, persoalan besar ialah sejauh mana strategi status quo ini boleh membawa PAS, blok politik terbesar dalam PN ke Putrajaya?

Dalam isu ini, Profesor Dr Azmi berpendapat selagi kepimpinan PAS sekarang kekal dengan imej ‘ekstrem agama’, PAS akan terus popular dalam kalangan Melayu, tetapi sukar menembusi masyarakat bukan Melayu, apatah lagi untuk mencapai cita-cita membentuk Kerajaan Pusat.

Dr Muhammad Fathi pula tidak menolak cabaran imej PAS, tetapi percaya jika parti itu mampu membina reputasi sebagai parti yang stabil, inklusif dan bersedia bekerjasama merentas ideologi, masa depan mereka menubuhkan kerajaan lebih cerah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg