Topik diikuti
Pergi ke BHkuPAS rombak barisan kepimpinan PN, gugurkan 2 pemimpin Bersatu
PAS rombak barisan kepimpinan PN, gugurkan 2 pemimpin Bersatu
Bersatu bidas ‘politik kotor’, sikap autoritarian PAS
PAS rombak barisan kepimpinan PN, gugurkan 2 pemimpin Bersatu
Parti Islam SeMalaysia (PAS) dilihat terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai tonggak Perikatan Nasional (PN) apabila ‘menyingkirkan’ dua pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan penstrukturan semula pentadbirannya berkuat kuasa 17 Jun.
Pengerusi PN yang juga Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata penstrukturan semula itu dibuat sebagai persediaan gabungan itu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan pada Julai dan Ogos ini.
Datuk Dr Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, rombakan itu dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan mengikut Fasal 8.3 (V), (VI) dan (VII) Perlembagaan PN.
Dua pemimpin utama Bersatu yang digugurkan daripada barisan kepimpinan PN ialah Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin, yang diberhentikan perkhidmatannya sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, pula dilucutkan jawatannya sebagai Timbalan Setiausaha Agung PN.
“Datuk Mohammed Azmin diberhentikan perkhidmatan bagi memenuhi kehendak Perlembagaan PN,” katanya dalam satu kenyataan pada malam 17 Jun, tanpa memperincikan sebab penamatan perkhidmatan itu.
Jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN kini diambil alih oleh Menteri Besar Kedah merangkap Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor.
Jawatan Bendahari, yang sebelum ini disandang Datuk Muhammad Sanusi, kini dipangku oleh Encik S Subramaniam daripada Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Pengumuman ini tercetus tatkala PN sedang bergelut dengan perebutan kuasa antara dua teraju utamanya, PAS dan Bersatu, susulan keputusan PAS menamatkan kerjasama politik pada 8 Jun lalu.
Berlandaskan Fasal 8.3 (V), (VI), dan (VII) Perlembagaan PN, jawatan-jawatan tersebut tertakluk kepada pelantikan Pengerusi PN, selama tempoh yang dikehendakinya.
Dalam kenyataan yang sama, Datuk Dr Ahmad Samsuri mengumumkan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) bakal diadakan segera demi mengukuhkan organisasi gabungan itu.
“Keutamaan kita ialah memastikan PN kekal kukuh, tersusun dan bersedia menawarkan yang terbaik kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, menyifatkan penyingkiran pemimpin Bersatu di sebalik alasan PRN dan mesyuarat MT mengejut sebagai cerminan politik kotor serta sikap autoritarian PAS.
Menerusi kenyataan 18 Jun, beliau mendakwa penstrukturan semula itu nyata memperkukuh cengkaman PAS dalam MT PN dengan peningkatan wakil parti itu kepada lapan orang, berbanding hanya empat daripada Bersatu.
Hal ini katanya membangkitkan keraguan tentang keseimbangan kuasa dalam gabungan tersebut, terutamanya membabitkan prosedur pengundian dalam mesyuarat.
“Bukan lagi rahsia bahawa ada pihak dalam PAS yang berhasrat menguasai PN sepenuhnya lalu menyingkirkan Bersatu dari gabungan ini,” tegas beliau.
“Dari sudut undian, Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) dan MIPP masing-masing memegang tiga undi dalam MT PN, sementara sebelum ini, PAS dan Bersatu masing-masing memiliki enam wakil.
“Jika pengundian berlaku dengan andaian MIPP menyokong Bersatu manakala Gerakan memihak kepada PAS, jumlah undi bagi kedua-dua blok menjadi seimbang pada angka sembilan.
“Lantas, undi Pengerusi menjadi penentu, dan dengan menyingkirkan Datuk Mohd Radzi serta Datuk Azmin, PAS cuba memaksimumkan undi mereka kepada lapan, seraya menyusutkan undi Bersatu kepada hanya empat,” katanya.
