Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PAS sahkan beberapa parti mohon sertai Perikatan Nasional

Sep 12, 2025 | 4:14 PM
politik M’sia, PAS, Perikatan Nasional
Timbalan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang juga Ahli Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. - Foto FACEBOOK TUAN IBRAHIM TUAN MAN

ALOR SETAR (Kedah): Perikatan Nasional (PN) mengesahkan menerima permohonan daripada beberapa parti politik untuk menyertai gabungan politik itu sama ada sebagai ahli atau rakan sekutu.

Timbalan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang juga Ahli Majlis Tertinggi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmi Ali, dalam mesyuarat baru-baru ini.

“Memang ada beberapa parti yang telah hantar permohonan. Ada yang mahu jadi ahli, ada juga yang mahu jadi friend of (kawan) Perikatan Nasional. Buat masa ini, kita akan teliti satu persatu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN.

“Kita juga mengalu-alukan mana-mana pihak termasuk NGO (pertubuhan bukan kerajaan) untuk bersama dalam perjuangan PN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia di Kompleks PAS pada 12 September.

Ditanya sama ada permohonan diterima itu turut membabitkan parti komponen Barisan Nasional (BN), Tuan Ibrahim bagaimanapun enggan mendedahkan lebih lanjut.

“Itu masih rahsia lagilah. Tunggu dulu sehingga kita isytihar,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan 12 parti bersetuju membentuk satu gabungan longgar bagi memperjuangkan isu-isu yang didakwa gagal diselesaikan kerajaan Madani, termasuk janji reformasi.

Selain Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), gabungan itu terdiri daripada PAS, Gerakan, Pejuang, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Kemajuan Malaysia (MAP) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

Satu lagi organisasi yang terbabit ialah parti yang belum didaftarkan secara rasmi iaitu Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).

Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS, Encik Afnan Hamimi Taib Azamudden, memaklumkan pihaknya turut menjemput parti politik lain untuk menghadiri Muktamar Tahunan PAS Pusat, termasuklah MIC (Kongres India Malaysia).

Menurutnya, undangan rasmi dihantar kepada kepimpinan pusat MIC serta sayap pemudanya.

“MIC pun kita jemput, malah Timbalan Ketua Pemuda MIC (Encik Kesavan Kandasamay) juga dijemput secara rasmi.

“Setakat yang saya tahu, mereka terima undangan itu cuma pagi ini saya difahamkan ada halangan sehingga mereka tidak dapat hadir. Saya tidak pasti sebabnya, mungkin ada pihak yang menasihatkan supaya mereka tidak hadir,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg