MUAR: Parti Islam SeMalaysia (PAS) menyasarkan untuk merampas kerusi Parlimen Muar daripada Ahli Parlimennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.

Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, berkata pihaknya juga nekad mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

“Kesiapsiagaan jentera parti kini diperkukuh lebih awal sebagai persediaan menghadapi persaingan politik yang dijangka lebih sengit di negeri ini.

“Kita nak rampas Parlimen Muar yang sedang bercengkerama dan berendut dengan Bella Astillah,” katanya ketika berucap dalam Program Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) Johor di Pusat Komuniti PAS Muar, Parit Tarom, pada 26 April.

Program itu dirasmikan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang turut menyempurnakan pelancaran jentera pilihan raya PAS Johor, lapor MalaysiaGazette.

Hadir sama ialah Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal; dan Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Encik Nornekman Osman.

Datuk Dr Mahfodz berkata ia bukan satu perkara mustahil untuk PN membentuk kerajaan negeri di Johor, sekiranya rakyat memberi kepercayaan penuh kepada kepimpinan PAS dan Bersatu.

“Kita mahu ambil iktibar, PAS dan PN hari ini telah dapat memimpin negeri Kedah yang dahulu pernah berada di bawah kepimpinan Umno; jadi, tidak mustahil untuk kita dapat memimpin negeri Johor.

“Kalau kita diberikan peluang untuk membentuk kerajaan negeri di Johor, kita akan buktikan kita mampu menjadi kerajaan yang adil kepada semua rakyat Malaysia termasuk yang bukan beragama islam,” katanya.

PAS Johor pernah menewaskan calon daripada Umno pada PRU 2004 dan 2013, ujarnya.

“Untuk itu, kita perlu bekerja lebih keras, jangan semangat sahaja yang bersungguh-sungguh, kita perlu memenangkan lebih banyak kerusi DUN (untuk membentuk kerajaan),” katanya.