KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka terbuka untuk berbincang dengan parti lain yang berkongsi persamaan, termasuk Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelang pilihan raya negeri (PRN) negeri itu.

Ketua Penerangan Bersatu Melaka, Encik Hishamuddin Abdul Karim, bagaimanapun, berkata sebarang kerjasama pilihan raya harus mengecualikan parti-parti yang telah mengkhianati kepercayaan dan semangat kerjasama yang telah diwujudkan sebelum ini dalam Perikatan Nasional (PN).

“Sebarang rundingan, persefahaman atau kerjasama politik yang melibatkan Bersatu adalah tertakluk kepada kebijaksanaan dan keputusan Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin) serta kepimpinan pusat parti,” katanya, lapor portal berita, Free Malaysia Today.

Pendirian itu dibuat di tengah-tengah peralihan pakatan politik menjelang PRN Melaka, dengan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Wawasan Negara; Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) meneroka potensi kerjasama.

Bersatu bertanding di bawah logonya sendiri dalam PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu selepas diketepikan dalam rundingan kerusi, dengan PAS membentuk persefahaman dengan BN dalam pembahagian 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

Encik Hishamuddin berkata keputusan PRN Negeri Sembilan dan Johor akan menjadi antara faktor yang dipertimbangkan oleh kepimpinan Bersatu di peringkat negeri dan Pusat.

“Pengalaman dan keputusan PRN Negeri Sembilan dan Johor sudah tentu menjadi antara faktor yang perlu dinilai dengan serius oleh kepimpinan negeri dan Pusat.

“Demi kelangsungan serta masa depan parti, semua senario politik perlu dikaji secara rasional dan terbuka,” katanya.

Menurutnya, Bersatu Melaka sedia untuk membincangkan bentuk kerjasama politik yang memenuhi kepentingan strategik parti sambil menawarkan pilihan yang lebih baik kepada pengundi.

“Sebarang perbincangan sedemikian, jika ia berlaku, harus dilihat sebagai sebahagian daripada proses politik yang matang dan pragmatik,” katanya.

BN memenangi 21 daripada 28 kerusi dalam PRN Melaka pada 2021; manakala PH memenangi lima dan PN dua.

Sementara itu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Faizal Azumu, mengakui partinya memerlukan gabungan bagi menghadapi PRN Melaka tidak lama lagi.

Jelasnya, kedudukan parti perlu diperkukuhkan ketika PN semakin ‘melupakan’ Bersatu.

“Secara umum, kita perlu ada gabungan. Tanpa gabungan, memang susahlah kita hendak bergerak sendirian.

“Ini kerana kekuatan bahagian-bahagian di Melaka itu sendiri belum cukup untuk kami bergerak sendiri,” katanya.

DUN Melaka mesti mengadakan pilihan raya menjelang Februari 2027, namun ramai pihak menjangkakan ia akan diadakan lebih awal sebelum akhir 2026.