KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Terengganu membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung logo himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2025 yang mencetuskan kontroversi, berikutan memaparkan bintang Jalur Gemilang tanpa jumlah bucu lengkap.
Sekretariat program itu memaklumkan bahawa pihaknya sudah menarik semula penggunaan logo berkenaan dan mengeluarkan versi baru yang dikemas kini.
“Kami ingin memohon maaf secara terbuka kepada orang ramai dan penyokong atas kesilapan yang tidak disengajakan, serta sudah mengambil tindakan segera untuk menarik balik penggunaan logo berkenaan.
“Versi logo himpunan TMT 2025 yang diperbetulkan kini sudah dikeluarkan dan akan digunakan dalam semua bahan promosi serta pengumuman rasmi yang akan datang,” katanya melalui satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.
Minggu lalu, PAS mula mengedarkan poster promosi bagi himpunan TMT yang dijadual berlangsung di Kemaman pada 29 hingga 31 Mei ini.
Logo berkenaan memaparkan Jalur Gemilang (negara) di sebelah kiri, logo PAS di tengah dan bendera Terengganu di sebelah kanan.
Bagaimanapun, logo itu dikritik kerana hanya memaparkan bintang kuning dengan 11 bucu, selain hanya jalur merah putih.
Jalur Gemilang sepatutnya mempunyai bintang 14 penjuru dan 14 jalur merah putih, yang mewakili 13 negeri dalam Persekutuan Malaysia dan Wilayah Persekutuan.
Insiden ini berlaku selepas beberapa kes lain sejak April lalu apabila Jalur Gemilang diterbitkan dengan pelbagai kecacatan.
Ini termasuk penerbitan Sin Chew Daily yang memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit manakala Kwong Wah Yit Poh menyiarkan foto papan elektronik di Bukit Bintang yang memaparkan bendera dengan bintang 13 bucu.
Juga insiden sama melibatkan pempamer di ekspo produk bayi serta Kementerian Pendidikan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg