Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Salah papar bendera M’sia dalam laporan: Pegawai Kementerian Pendidikan dikena tindakan

Apr 30, 2025 | 2:14 PM
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memohon maaf atas kesilapan memaparkan bendera Malaysia yang dinamakan ‘Jalur Gemilang’ dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada muka surat 4, 14 dan 15 yang diedarkan pada 24 April lalu.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memohon maaf atas kesilapan memaparkan bendera Malaysia yang dinamakan ‘Jalur Gemilang’ dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada muka surat 4, 14 dan 15 yang diedarkan pada 24 April lalu. - Foto MALAYSIA GAZETTE

KUALA LUMPUR: Selepas tiga kes kesilapan papar bendera Malaysia yang dikenali sebagai Jalur Gemilang tidak sempurna oleh dua syarikat media negara itu dan sebuah syarikat makanan bayi dari Singapura, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pula memohon maaf atas kesilapan sama.

Kesilapan memaparkan Jalur Gemilang tidak lengkap oleh KPM itu berlaku dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 24 April lalu, dan kakitangan yang terlibat telah dikenakan tindakan atau ditukarkan ke bahagian lain, sementara siasatan lanjut dijalankan.

Ketua Setiausaha Malaysia, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, mengesahkan KPM sudah mengemukakan laporan berhubung kesilapan paparan Jalur Gemilang dalam laporan berkenaan dan kakitangan yang terlibat membabitkan dua kumpulan gred berasingan.

“Kakitangan yang terlibat berada dalam kategori atas gred 48 dan bawah gred 48. KPM sudah kemukakan laporan (kesilapan paparan Jalur Gemilang), jadi sekarang tindakan sedang diambil oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Tan Sri Shamsul Azri turut berkata bagi kakitangan gred atas 48, siasatan dan tindakan diambil oleh JPA mengikut Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, manakala bagi gred bawah 48, tindakan diambil di bawah Lembaga Disiplin KPM.

Terdahulu, tular gambar kesilapan cetakan imej Jalur Gemilang tidak sempurna dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2024 yang diedarkan pada 24 April lalu. Gambar itu memaparkan Jalur Gemilang tidak mengikut reka bentuk sepatutnya.

Sebelum ini, Singapore Lactation Bakes (SLB) memohon maaf atas kesilapan memaparkan Jalur Gemilang tidak lengkap dalam video pelancarannya untuk SLB Malaysia, di Kuala Lumpur. SLB menyertai pameran perdagangan produk bayi di pusat pameran sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ia insiden ketiga membabitkan paparan Jalur Gemilang tidak lengkap selepas kealpaan sama dilakukan syarikat media Malaysia, Sin Chew Daily, apabila menyiarkan ilustrasi bendera yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar berkenaan ketika lawatan negara Presiden China, Encik Xi Jinping, pada 15 April lalu.

Kemudian, akhbar Kwong Wah Yit Poh pula dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) susulan penyiaran gambar Jalur Gemilang yang tidak lengkap di akaun Facebook rasminya.

Berikutan kejadian itu ketiga-tiga pihak terbabit disiasat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan berdepan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

Kesilapan dalam memaparkan Jalur Gemilang itu turut mendapat teguran Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim, yang menyifatkan kesalahan itu tidak boleh diterima kerana bendera adalah lambang kedaulatan negara yang tidak boleh dipersendakan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg