Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes bendera M’sia tidak lengkap: Penahanan ketua akhbar ikut undang-undang

Apr 21, 2025 | 2:31 PM
Menteri Komunikasi Malaysia, Datuk Fahmi Fadzil.
Menteri Komunikasi Malaysia, Datuk Fahmi Fadzil. - Foto fail BERNAMA

JOHOR BAHRU: Tindakan polis Malaysia menahan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily, bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang (bendera Malaysia) yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar berkenaan, dibuat berlandaskan undang-undang.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai kuasa mengikut undang-undang bagi menjalankan siasatan berhubung isu yang mencetuskan kemarahan orang ramai itu.

Menurutnya, siasatan terhadap isu itu dijalankan dari tiga sudut berbeza yang membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), PDRM serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Kesalahan pertama dikesan melalui edisi cetakan akhbar, Sin Chew, maka siasatan awal dilakukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang dikuatkuasakan oleh KDN.

“Siasatan turut dijalankan di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta beberapa akta lain yang terletak di bawah bidang kuasa PDRM.

“Justeru, sebarang penahanan bagi membantu siasatan adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) Taman Sri Skudai di sini pada 21 April.

Terdahulu, Datuk Fahmi ditanya mengenai kenyataan Presiden Interim Parti Bersatu untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Encik P Ramasamy, yang kesal dengan tindakan polis menahan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily bagi membantu siasatan berhubung isu berkenaan.

Memetik laporan sebuah portal, Encik Ramasamy menyifatkan tindakan tersebut sebagai keterlaluan dan memalukan.

Dalam pada itu, Datuk Fahmi, yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, berkata pembabitan SKMM dalam siasatan juga dianggap relevan, susulan Sin Chew Daily turut menerbitkan kandungan melalui wadah digital seperti akhbar elektronik (e-paper).

“Dalam isu ini, dua kementerian dan pihak polis sedang giat menjalankan siasatan.

“Keputusan akhir akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menentukan tindakan lanjut sama ada pendakwaan di mahkamah atau langkah lain,” jelasnya, lapor Harian Metro.

Media melaporkan pada 17 April, Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily, ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata kedua-dua individu ditahan untuk siasatan lanjut.

Akhbar berbahasa Mandarin itu menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya pada 15 April, sempena liputan lawatan negara Presiden China, Encik Xi Jinping, ke Malaysia.

Namun, gambar bendera terbabit tidak lengkap susulan ketiadaan bulan sabit.

Kejadian itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang dilaporkan berkata pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.

Berikutan itu, akhbar berkenaan tampil memohon maaf dan menjelaskan ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg