Muktamar Tahunan Parti Islam SeMalaysia (PAS) ke-72 dilihat menjadi perhimpunan terpenting parti itu dalam memperkukuh persediaan memburu kemenangan besar dalam pilihan raya, khususnya merealisasikan sasaran untuk menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang.

Kerjasama politik dengan parti lain khususnya Umno/Barisan Nasional (BN) atas nama penyatuan ummah juga menjadi antara intisari penting pada muktamar itu.

Persahabatan PAS dan Umno yang pernah menjadi seteru lebih 60 tahun, sebelum berbaik dan kembali dilanda konflik ketika bersama dalam gagasan Muafakat Nasional (MN) pada 2019 menyusuli kejatuhan Umno, kini kembali mesra dan jitu.

Kehadiran pimpinan Umno ke muktamar berkenaan pada 4 September diketuai Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mewakili Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang terpaksa membatalkan kehadiran pada saat akhir atas sebab tidak dapat dielakkan, memberikan simbolik penting hubungan baik dua blok politik itu yang dijangka terus kukuh menuju PRU16.

Terlebih dahulu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh, turut meraikan jemputan Pemuda PAS ke muktamar sayap parti itu pada 3 September.

Malah, PAS juga optimis agenda penyatuan ummah itu akan turut disambut Umno pada Perhimpunan Agung parti itu pada 9 hingga 12 September ini, yang akan turut dihadiri pimpinan PAS.

Ketika menyampaikan ucapan dasar pada perasmian muktamar bertemakan ‘Penyelesaian Islam Mengisi Kemenangan’ pada 4 September di hadapan sekitar 5,000 perwakilan dari serata Malaysia yang berhimpun di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di Pengkalan Chepa, dekat Kota Bharu, Kelantan, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, membentangkan agenda bertindak menuju PRU16.

Intipatinya antara lain untuk PAS memimpin agenda penyatuan ummah melalui langkah politik yang berhikmah dan bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara yang membawa kebaikan kepada Malaysia.

Walaupun tidak menamakan secara khusus pihak mana yang dimaksudkan dalam ucapan agenda penyatuan ummah Tan Sri Abdul Hadi itu, nama Umno dan Barisan Nasional (BN) kerap disebut pemimpin parti itu dalam siri ucapan mereka pada muktamar berkenaan.

Malah, ketika berucap pada ceramah perdana sempena Sambutan Jubli Intan 75 tahun PAS sempena muktamar itu pada malam 4 September, Tan Sri Abdul Hadi menekankan pentingnya untuk parti itu memperkukuh hubungan dan kerjasama dengan Umno, bagi membolehkan gabungan itu menawan lebih banyak kerusi dan negeri pada PRU16 nanti.

Beliau berkata penting untuk sebuah kerajaan yang kuat ditubuhkan dan sukar digulingkan selepas PRU16 nanti dan itu boleh dicapai dengan penyatuan PAS-Umno.

“Yang pentingnya ialah kita tubuh kerajaan dengan kuat. Kalau tak kuat kerajaan itu akan dijatuhkan. Rakyat kena kuat sokong kerajaan.

“(Kerajaan) Kelantan tak jatuh walaupun kita dikepung dan sebagainya kerana orang luar sanggup balik mengundi pertahan kerajaan Kelantan.

“Dan PRU15 lalu, kita berjaya dapat kerusi paling besar di Parlimen, paling besar di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kita perintah empat negeri…dan kita nak lagi (kerusi),” katanya pada ceramah itu.

Dalam ucapan penggulungan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, pula beliau mengingatkan untuk ahli parti itu kekal wala’ (patuh) dengan sebarang keputusan parti selepas usul penyatuan ummah diluluskan sebulat suara.

Beliau menekankan cabaran bakal dihadapi dalam soal pembahagian kerusi selepas PAS bekerjasama dengan Umno untuk pilihan raya.

Ia mengambil kira pendirian kedua-dua parti yang mempunyai kepentingan untuk mengekalkan kawasan yang dianggap sebagai kekuatan masing-masing.

Pada muktamar itu Tan Sri Abdul Hadi menegaskan bahawa PAS akan mempertahankan semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk empat negeri yang dikuasai parti itu - Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis, yang dimenangi pada pilihan raya lalu.

Penganalisis politik melihat PAS sedar bahawa untuk menawan Putrajaya, kekuatan parti itu sendiri tidak mencukupi, sekali gus menjadikan naratif penyatuan Melayu/Islam dan kestabilan politik menjadi lebih menonjol pada muktamar kali ini.

Menurut penganalisis, PAS mungkin perlukan Umno untuk memperluas jalan ke Putrajaya, tetapi pada masa sama parti itu juga mempunyai kepentingan untuk menjadi kuasa dominan dalam blok Melayu/Islam.

Profesor Kehormat Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid.
Profesor Kehormat Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid. - Foto AHMAD FAUZI ABDUL HAMID

Profesor Kehormat Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, melihat kesukaran yang bakal dialami PAS apabila bekerjasama dengan Umno dalam usaha menawan Putrajaya tidak hanya terhad pada soal pembahagian kerusi.

Malah, ia melangkaui soal imej dan reputasi PAS apabila menjalin kerjasama dengan Umno ketika beberapa pemimpinnya sedang terpalit dengan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa, termasuk dalam isu pengurusan Tabung Haji.

“Adakah wajar PAS terus bekerjasama dengan sebuah parti yang masih dibayangi isu rasuah? Ini juga boleh menjejaskan persepsi terhadap PAS kerana parti itu boleh dilihat bersetuju untuk bersekongkol dengan Umno.

“Penyokong PAS sendiri bertanya sama ada perlu parti itu bekerjasama dengan Umno sedangkan parti berkenaan masih dibayangi isu korupsi,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Jelasnya perkembangan kes melibatkan Datuk Ahmad Zahid dalam rayuan Majlis Peguam terhadap 47 kes rasuah Yayasan Akal Budi yang telah dihentikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, turut boleh mempengaruhi penerimaan penyokong PAS terhadap kerjasama berkenaan.

Kata Profesor Ahmad Fauzi persoalannya ialah sama ada PAS boleh dilihat bekerjasama secara bermoral dengan parti yang kepimpinannya masih dikaitkan dengan isu rasuah serta berpendirian untuk membebaskan bekas Perdana Menteri, Encik Najib Tun Razak, yang dipenjarakan kerana kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Mengulas dakwaan bahawa PAS seolah-olah ‘gila talak’ kerana bersungguh-sungguh mahu meneruskan kerjasama dengan Umno selepas ‘perselisihan’ sebelum ini, Profesor Ahmad Fauzi berkata label itu bergantung kepada persepsi pihak tertentu, namun dari sudut PAS, langkah berkenaan lebih merupakan pertimbangan strategik politik.

“Jika kita melihat landskap politik semasa, sampai bila pun PAS tidak akan dapat menguasai lebih banyak negeri atau menawan Putrajaya tanpa kerjasama dengan pihak lain.

“PAS sepanjang sejarahnya pernah bekerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk Umno, PKR dan DAP. Ini menunjukkan PAS lebih pragmatik dan bukan sebuah parti yang terlalu taksub kepada satu-satu pendirian politik,” katanya.

Beliau berkata keupayaan PAS mengekalkan kesetiaan ahli serta kekuatan organisasi parti turut menjadikan kerjasama dengan pihak lain sebagai satu strategi yang boleh dipertimbangkan tanpa menjejaskan identiti parti.

Katanya kesetiaan ahli PAS yang sering dikaitkan dengan istilah ‘walaun’ (daripada perkataan asal wala’ bermaksud taat) juga sebenarnya mencerminkan kekuatan dan disiplin dalaman parti.

“‘Walaun’ itu sebenarnya satu perkara yang baik dalam konteks kesetiaan ahli kepada PAS,” katanya.

Dalam kerjasama PAS-Umno itu, Profesor Ahmad Fauzi juga melihat Umno akan sentiasa menjadi ‘abang besar’ dalam mana-mana kerjasama melibatkan parti itu, sekali gus mungkin menyukarkan penerimaan ahli lama PAS.

“Ia mungkin ambil masa (penerimaan ahli lama) dan sedikit sukar. Tetapi untuk generasi muda lebih mudah. Dalam isu dominasi, PAS memang perlu bertegas untuk kesamarataan,” katanya.

Beberapa perwakilan yang ditemui BH pada muktamar itu menyambut baik langkah PAS ‘berbaik’ dan kembali menjalin kerjasama dengan Umno untuk mendepani PRU16 akan datang.

Timbalan Yang Dipertua PAS Batu Pahat (Johor), Encik Mohd Tumiran Ahmad.
Timbalan Yang Dipertua PAS Batu Pahat (Johor), Encik Mohd Tumiran Ahmad. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Timbalan Yang Dipertua PAS Batu Pahat (Johor), Encik Mohd Tumiran Ahmad, 64 tahun, berkata sambutan akar umbi parti itu terhadap kerjasama dengan Umno sangat baik, walaupun pada awalnya ahli keliru apabila pucuk pimpinan mengarahkan untuk memberi undi kepada Umno/BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, di kerusi yang tidak ditandingi PAS.

“Banyak perkara yang diputuskan dalam muktamar kali ini akan membawa PAS sebagai satu parti dominan dalam landskap politik Malaysia.

“Yang bermasalah sebelum ini hanya di peringkat atasan, manakala kami di peringkat bawah menurut arahan pucuk pimpinan kerana yakin semua yang diputuskan adalah untuk kebaikan PAS,” katanya.

Ketua Muslimat PAS Pandan (Kuala Lumpur), Cik Nurul Husna Abd Hamid.
Ketua Muslimat PAS Pandan (Kuala Lumpur), Cik Nurul Husna Abd Hamid. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Ketua Muslimat PAS Pandan (Kuala Lumpur), Cik Nurul Husna Abd Hamid, juga berpandangan kerjasama PAS-Umno adalah satu langkah terbaik untuk meluaskan penguasaan parti itu dan memastikan dominasi parti Melayu/Islam, terutama dalam menembusi kerusi di kawasan bandar yang lebih dikuasai parti lawan.

“Muktamar kali ini mengangkat tema yang amat dekat dengan keadaan semasa iaitu penyatuan ummah. Jadi PRU16 ini akan menjadi langkah perubahan besar buat PAS terutama dalam menarik sokongan pengundi Melayu/Islam,” katanya.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Muhamad Fuad Abdul Karim.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Muhamad Fuad Abdul Karim. - Foto MUHAMAD FUAD ABDUL KARIM

Mengulas kebimbangan soal parti yang akan mendominasi menerusi kerjasama PAS-Umno itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Muhamad Fuad Abdul Karim, menyifatkan dalam mana-mana gabungan politik, setiap parti sememangnya mempunyai kepentingan dan agenda tersendiri.

Justeru, setiap parti akan berusaha memastikan keberadaan, pengaruh dan kepentingannya terus terpelihara dalam sesebuah gabungan.

“Dalam konteks PAS, parti itu sejak sekian lama tidak semestinya menjadikan jawatan Perdana Menteri sebagai satu-satunya matlamat politik, sebaliknya turut menekankan kepentingan pengaruh dalam menentukan hala tuju dan keputusan politik.

“Dalam erti kata lain, PAS boleh berperanan sebagai kingmaker (kuasa penentu) atau decision maker (pembuat keputusan) tanpa semestinya menguasai semua jawatan utama. Yang penting, ia mencapai matlamat ke Putrajaya,” katanya kepada BH.

Jelas beliau, soal dominasi yang diperkatakan ketika ini lebih kepada persepsi politik dan percaturan untuk menjangka siapa lebih kuat dalam rundingan.

“Yang lebih penting ialah bagaimana rundingan antara parti dapat menghasilkan pembahagian kerusi, peranan dan kepentingan yang diterima semua pihak.

“Jika matlamatnya benar-benar untuk menawan Putrajaya, penyatuan tersebut perlu berasaskan situasi menang-menang, bukan usaha satu parti untuk mendominasi yang lain,” katanya lagi.