Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasangan kekasih didakwa bunuh siswi dalam bilik asrama

Jul 10, 2025 | 2:56 PM
Sri Darvien Mathavan (kiri) dan teman wanitanya, Thineswary Devendran (kanan) dihadapkan ke mahkamah pada 10 Julai atas pertuduhan membunuh Maniishapriet Kaur Akhara (gambar kecil) pada Jun lalu.
Sri Darvien Mathavan (kiri) dan teman wanitanya, Thineswary Devendran (kanan) dihadapkan ke mahkamah pada 10 Julai atas pertuduhan membunuh Maniishapriet Kaur Akhara (gambar kecil) pada Jun lalu. - Foto NSTP

SEPANG: Seorang lelaki dan kekasihnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada 10 Julai, masing-masing atas pertuduhan membunuh serta bersubahat membunuh seorang penuntut perempuan sebuah universiti swasta di Cyberjaya, pada Jun lalu.

Tertuduh pertama, Sri Darvien Mathavan, 19 tahun, didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas pertuduhan membunuh Maniishapriet Kaur Akhara, 20 tahun, di Blok A, Mutiara Ville, Persiaran Multimedia antara 9.11 malam hingga 11.31 malam pada 23 Jun lalu.

Darvien yang juga seorang pekerja rencam, mengaku memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya tetapi tiada pengakuan direkodkan.

Tertuduh kedua yang juga teman wanitanya, Thineswary Devendran, 19 tahun, didakwa bersubahat dengan Darvien untuk membunuh mangsa di Blok A, Mutiara Ville pada 12.30 tengah hari 23 Jun lalu.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Wanita itu juga mengaku memahami pertuduhan dibacakan terhadapnya, namun tiada pengakuan direkodkan, lapor BH Online.

Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, memaklumkan kepada mahkamah bahawa tiada ikat jamin ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh.

Beliau kemudian memohon supaya satu tarikh sebutan ditetapkan oleh mahkamah.

Peguam M Manoharan yang mewakili tertuduh pertama pula memohon supaya kes itu segera dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan, selaras peruntukan dalam Seksyen 177A (2) Kanun Tatacara Jenayah.

“Saya mohon jasa baik Timbalan Pendakwa Raya untuk membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi dengan secepat mungkin supaya perbicaraan dapat dijalankan dengan secepat mungkin,” katanya.

Berikutan itu, Raja Zaizul Faridah menjelaskan bahawa pihaknya memerlukan beberapa dokumen lanjut seperti laporan kimia, laporan forensik dan bedah siasat supaya kes berkenaan boleh dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Beliau berkata keizinan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi hanya akan dibuat selepas pendakwaan meneliti semua laporan terbabit dan menyerahkan salinan kepada pihak pembelaan.

“Saya rasa wajar untuk satu tarikh sebutan diberikan mahkamah,” katanya.

Majistret Khairatul Animah Jelani kemudian menetapkan 9 September sebagai tarikh sebutan semula kes.

Selain Manoharan, Darvein turut diwakili M Hariharan, manakala Thineswary diwakili peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff dan Datuk Abu Bakar Isa Ramat.

Peguam, Datuk Rajpal Singh, Raspreet Kaur dan Sarabmeet Singh pula hadir sebagai peguam pemerhati.

Media sebelum ini melaporkan Maniishapriet yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi di sebuah universiti swasta di Cyberjaya, ditemui maut dipercayai dibunuh dalam bilik asramanya.

Mangsa yang juga dikenali sebagai Manisha dalam kalangan keluarganya, berasal dari Sarawak, dijumpai meninggal dunia di unit kondominiumnya di Cyberjaya oleh seorang rakan pada 10 pagi, 24 Jun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dilaporkan berkata suspek utama kes itu dipercayai pernah beberapa kali bermalam bersama kekasihnya di rumah berkenaan.

Berdasarkan hasil siasatan, rakan serumah mangsa yang juga kekasih suspek utama dipercayai menyerahkan kad akses dan kunci rumah berkenaan kepada lelaki terbabit untuk tinggal di kondominium itu sebelum kejadian.

Pada 27 Jun lalu, media melaporkan tiga suspek direman bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg