KUALA LUMPUR: Seorang wanita dipercayai melahirkan bayi di tandas Terminal Bersepadu Selatan (TBS) sebelum membuang mayat bayi lelaki itu ke dalam tong sampah kerana bimbang perbuatannya diketahui keluarga.

Bagaimanapun, perbuatan itu terbongkar apabila suspek dan kekasihnya ditahan polis di Sepang, Selangor, pada 12 Jun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintenden Lim Chun How, berkata pihak pengurusan TBS menemui bayi yang baru dilahirkan itu di dalam beg plastik biru di tandas wanita aras tiga terminal tersebut pada 9 Jun.

Menyusuli penemuan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berjaya menahan sepasang kekasih berusia 21 tahun untuk membantu siasatan.

“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang tidak bekerja mengaku terbabit dalam kes itu. Suspek wanita dipercayai melahirkan bayi berkenaan sebelum membuangnya kerana takut,” jelasnya dalam kenyataan pada 15 Jun.

Pasangan itu ditahan reman selama empat hari sehingga 16 Jun, dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit.

Dalam satu kes berasingan pada 13 Jun, polis menahan dua wanita berusia 20-an bagi membantu siasatan penemuan mayat bayi di hadapan sebuah pusat perlindungan bayi di Jalan Bukit Gasing, Petaling Jaya, Selangor.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Penolong Pesuruhjaya Shamsudin Mamat, berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat bayi itu pada jam 8.10 pagi.

“Prosedur bedah siasat ke atas bayi tersebut telah dijalankan, dan doktor mengesahkan punca kematian adalah disebabkan keguguran. Bayi itu juga disahkan meninggal dunia melebihi 24 jam,” katanya.