IPOH: Penahanan seorang wanita Vietnam bersama kekasihnya warga tempatan di Manjung, Perak, membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM4.6 juta ($1.4 juta).
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata lelaki berusia 28 tahun dan wanita Vietnam berusia 24 tahun itu ditahan di sebuah rumah di kawasan Simpang Tiga, Sitiawan, Perak sekitar 7.30 malam pada Isnin lalu, lapor Berita Harian Malaysia.
Menurutnya, dalam serbuan ke kediaman itu, polis menemui dadah dalam bentuk serbuk jenis MDMA seberat 15.3 kilogram, manakala 0.23 kilogram lagi ditemukan di sebuah motosikal depan rumah berkenaan.
Katanya, susulan itu, serbuan kedua dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak ke sebuah pangsapuri di Taman Sejati, Sitiawan.
Menurutnya, serbuan kedua yang dipandu arah pasangan kekasih itu, dijalankan sekitar 8.55 malam hari yang sama (Isnin) dan mereka kemudiannya berjaya menahan seorang lagi lelaki berusia 50 tahun.
“Polis juga merampas serbuk ketamin dan pil Eramin 5, masing-masing seberat 0.11 gram dan 13 gram,” katanya pada sidang media, di sini pada Khamis.
Dipandu arah oleh ketiga-tiga suspek, serbuan ketiga dibuat 7.19 pagi keesokannya di sebuah rumah di Desa Manjung Raya yang dipercayai digunakan sebagai tempat pembungkusan dan stor penyimpanan dadah.
“Pemeriksaan di rumah berkenaan menemui 11.4 kilogram MDMA dan 299 gram ketamin yang kedua-duanya dalam bentuk serbuk.
“Polis juga merampas peralatan digunakan bagi pembungkusan dadah serta wang tunai RM970.
“Jumlah keseluruhan rampasan dadah bagi kes ini adalah 27 kilogram serbuk dadah MDMA, 413 gram serbuk dadah ketamin dan 50 biji atau 13 gram pil Eramin 5, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM4,595,272,” katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati sindiket itu mula aktif mengedar dadah sejak Mac 2025 untuk edaran di kawasan setempat dan Perak, dengan jumlah dadah dirampas boleh menampung permintaan 90,516 penagih.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap ketiga-tiga suspek yang juga penganggur itu mendapati semua positif dadah jenis Benzodiazepine @ Erimin 5.
“Mereka juga mempunyai rekod kesalahan jenayah serta dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ketiga-tiga suspek direman tujuh hari sehingga Isnin depan,” katanya.
Dalam kes berasingan, Datuk Noor Hisam berkata polis menahan seorang lelaki bersama ketulan mampat ganja seberat 16.6 kilogram bernilai RM51,500 hasil serbuan di sebuah bilik hotel di Jalan Mohamad, Sitiawan.
Menurutnya, suspek berusia 29 tahun itu yang bekerja sebagai penghantar barang sebuah syarikat kurier ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung sekitar 5 pagi pada Isnin lalu.
“Polis yang dipandu arah oleh suspek menjumpai 16 ketulan mampat ganja dalam bentuk daun-daun kering.
“Saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Tetrahydrocannabinnol (THC).
“Dia mempunyai rekod kesalahan jenayah dan dadah, direman tujuh hari sehingga 11 Mei untuk siasatan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg