Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki warga S’pura dituduh di Johor edar 10kg dadah

May 6, 2025 | 2:51 PM
Foto hiasan
Foto hiasan - Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Singapura didakwa di Mahkamah Sesyen di Johor atas lima tuduhan memiliki dan mengedar sejumlah 10.11kg dadah pada April.

Tertuduh, Tan Ban Choon, 47 tahun, menganggukkan kepala selepas tuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim pada 6 Mei.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas tuduhan, Tan, yang menganggur, dituduh mengedar 10,024 gram (g) serbuk MDMA atau ecstasy.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952, boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta sama, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, berserta minimum 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding mahkamah sama, tertuduh turut menghadapi empat lagi tuduhan memiliki dadah iaitu 9g heroin, 44g ganja, 6g serbuk MDMA dan 31.3g ketamin.

Kesemua kesalahan itu berlaku di sebuah unit pangsapuri di Danga Bay kira-kira 10 malam pada 23 April, lapor The Star.

Tuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 (S$30,790) atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Satu lagi tuduhan dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua dengan lima tahun, dan antara tiga dengan sembilan sebatan.

Hakim Mohammad Khalid tidak membenarkan ikat jamin, dan kes ditetapkan untuk sebutan pada 29 Julai sementara menunggu laporan kimia.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Mamu manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kes berasingan, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 6 Mei menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan ke atas tiga lelaki yang didapati bersalah mengedar 32 kilogram (kg) dadah jenis methampetamine, lapor Berita Harian Malaysia.

Hukuman terhadap S Uvaraja, 48 tahun, dan R Kalaikumar, 40 tahun – kedua-duanya penarik kereta – serta pemandu lori, K Paarthiban, 38 tahun, dibacakan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid.

Tiga lelaki itu dilaporkan mengedar dadah berbahaya iaitu methampetamine seberat 32kg di tempat letak kereta di sebuah kondominium di Jalan Desa Pandan, di Kuala Lumpur pada 5.35 petang, 18 Jun 2019.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg