TAWAU (Sabah): Pasangan tunang maut selepas motosikal yang dinaiki terlibat dalam kemalangan membabitkan lori dan kenderaan pacuan empat roda di Batu 16 Jalan Apas Balung, di sini pada petang 31 Disember 2025.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, Allahyarham Mohd Saddam Patah Lajasan, 21 tahun, dan tunangnya, Allahyarhamha Siti Nurfazlia Muslimin, 18 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tawau, Penolong Pesuruhjaya (ACP) Jasmin Hussin, berkata ketika kejadian sebuah lori dari arah Batu 3 Jalan Apas menghala ke Balung telah hilang kawalan selepas tayar hadapannya pecah.
“Akibat kejadian itu, lori terbabas ke kanan jalan dan merempuh pokok di pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal dinaiki kedua-dua mangsa.
“Lori tersebut kemudian menyeret motosikal bersama pasangan tersebut lalu melanggar bahagian hadapan kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki warga emas,” katanya dalam kenyataan pada 1 Januari.
ACP Jasmin berkata pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Hasil siasatan lanjut turut mendapati pemandu lori tidak memiliki lesen memandu yang sah dan ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian,” katanya
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Encik Madzlan Sarman, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.26 petang.
Katanya, seramai tujuh anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 28 kilometer dari BBP Tawau.
“Menurut laporan, berlaku kemalangan jalan raya melibatkan tiga kenderaan iaitu lori lima tan, Toyota Hilux dan motosikal.
“Dua mangsa iaitu penunggang dan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya, ketika dihubungi Sinar Harian.
Katanya lagi, dua lagi mangsa yang berada dalam lori tersepit dan telah dikeluarkan oleh orang awam.
“Kedua-duanya bersama pemandu kendaraan pacuan empat roda mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Encik Madzlan berkata operasi ditamatkan pada jam 6.30 petang selepas memastikan lokasi selamat digunakan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg