Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar di Sabah maut ditembak rakan ketika main sembunyi-sembunyi

Dec 8, 2025 | 3:46 PM
Malaysia, Sabah, senapang, bakakuk, pelajar, maut
Suspek menunjukkan lokasi kejadian rakannya maut akibat tertembak dengan senapang buatan sendiri di halaman sebuah rumah di Jalan Kem PPH, Keningau, Sabah. - Foto POLIS DIRAJA MALAYSIA

KENINGAU (Sabah): Seorang pelajar lelaki tingkatan (menengah) dua maut selepas terkena tembakan senapang buatan sendiri atau ‘bakakuk’ ketika bermain sembunyi-sembunyi bersama rakan di halaman sebuah rumah di Jalan Kem PPH, di Keningau, Sabah, pada 7 Disember.

Dalam kejadian sekitar 8 pagi itu, mangsa yang berusia 14 tahun dikatakan sedang bermain bersama seorang rakannya sebelum remaja itu secara tidak sengaja melepaskan tembakan dari jarak kira-kira tiga meter.

Mangsa yang terkena 14 kesan tembakan pada badan itu rebah sebelum dihantar ke Hospital Keningau oleh penduduk kampung.

Namun, dia disahkan meninggal dunia sejurus sahaja tiba di Unit Kecemasan Hospital Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai, berkata siasatan awal mendapati rakan mangsa yang juga berusia 14 tahun ternampak mangsa memegang ‘bakakuk’ di hadapan rumah sebelum meminta senjata berkenaan untuk bergurau.

“Ketika bermain sembunyi-sembunyi, mangsa bersembunyi di bawah kolong rumah sebelum suspek dipercayai tidak sengaja menarik picu senjata lalu melepaskan tembakan ke arah mangsa.

“Suspek panik lalu meminta bantuan orang kampung yang kebetulan melintas sebelum mangsa dibawa ke hospital,” katanya, lapor Harian Metro.

Hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat 14 kesan tembakan pada beberapa bahagian tubuh termasuk dada kanan, lengan kanan, lutut dan sisi kiri badan mangsa.

Menurutnya siasatan mendapati senjata tersebut disorok oleh seorang lagi remaja lelaki berusia 13 tahun, yang merupakan adik kepada suspek.

Pemilik ‘bakakuk’ berkenaan adalah bapa mereka, seorang warga emas berusia 70 tahun.

“Ketiga-tiga beranak itu ditahan untuk siasatan lanjut. Siasatan turut mendapati mangsa adalah rakan rapat suspek dan sering bermalam di rumah keluarga berkenaan.

“Bedah siasat dijalankan pada 8 Disember di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah,” katanya.

Menurut Superintenden Yampil, polis turut merampas ‘bakakuk’, peluru hidup, kelongsong peluru, pakaian suspek serta dua telefon bimbit bagi membantu siasatan.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg