Topik diikuti
Pergi ke BHkuPasport M’sia baru dengan 94 ciri keselamatan mula dikeluar 1 Jun
Pasport M’sia baru dengan 94 ciri keselamatan mula dikeluar 1 Jun
Ciri keselamatan tingkat hampir satu kali ganda agar lebih selamat, sukar dipalsu
Pasport M’sia baru dengan 94 ciri keselamatan mula dikeluar 1 Jun
PUTRAJAYA: Pasport Malaysia Antarabangsa baru yang akan dikeluarkan bermula 1 Jun ini, dilengkapi dengan 94 ciri keselamatan bagi memastikan dokumen itu kekal selamat dan sukar dipalsukan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata dokumen itu akan dikeluarkan secara berperingkat di empat pejabat pasport Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebagai permulaan.
“Pasport Malaysia Antarabangsa yang baru ini sebenarnya dilengkapi dengan ciri keselamatan yang ditambah baik.
“Sebelum ini pun dah baik, tapi yang baru ini kita tambah baik dari segi ciri keselamatannya.
“Sebelum ini kita ada 49 ciri keselamatan, tapi untuk yang baru ini kita tingkatkan hampir satu kali ganda iaitu 94 ciri keselamatan.
“Ini bertujuan untuk kita meningkatkan lagi ciri keselamatan supaya pasport ini lebih selamat dan lebih sukar untuk dipalsukan,” katanya, lapor Harian Metro.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JIM yang disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di Putrajaya pada 19 Mei.
Datuk Zakaria menasihatkan orang ramai agar tidak tergesa-gesa memohon pasport baru.
Dokumen sedia ada yang masih sah laku melebihi enam bulan masih boleh digunakan seperti biasa.
“Saya merayu kerjasama daripada semua rakyat Malaysia agar tidak perlu berebut-rebut datang ke pejabat imigresen.
“Berilah peluang kepada JIM untuk melaksanakan proses pengeluaran ini secara berperingkat,” ujar beliau, menekankan pasport lama yang sah laku tidak perlu ditukar segera.
Mengulas lanjut ciri keselamatan baru, Datuk Zakaria menjelaskan dokumen itu kini diserikan dengan unsur visual tersembunyi, hologram, cetakan sinaran ultraungu (UV), serta benang yang digunakan untuk menjahit buku pasport yang memiliki ciri keselamatan khas.
